Pengumuman jaguh badminton ini mengejutkan peminat

PEMENANG dua pingat emas Sukan Olimpik, Lin Dan yang dilabel selaku pemain terbaik sepanjang zaman, mengumumkan persaraannya hari ini pada usia 36 tahun.

Bermakna, Lin Dan yang memenangi emas di edisi Olimpik 2008 di Beijing dan 2012 di London, tidak akan menyertai temasya Sukan Olimpik 2020 yang ditangguhkan kepada tahun depan kerana pandemik Covid-19.

Karier gemilang Lin Dan berakhir hanya setahun selepas seteru utamanya yang juga sensasi Malaysia, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan.

Gandingan itu mendominasi sukan itu selama lebih sedekad dan dominasi itu hanya berakhir sejak beberapa tahun lalu.

“Keluarga, jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong sentiasa bersama saya sepanjang kemuncak prestasi dan waktu sukar.

“Setiap lompatan saya adalah keinginan untuk meraih kejayaan. Saya sudah mendedikasikan segala-galanya kepada sukan yang saya cintai ini,” katanya menerusi aplikasi Weibo.

Selain memenangi dua emas Olimpik, Lin Dan juga adalah juara dunia lima kali selain pernah bertakhta di ranking pertama dunia untuk satu tempoh yang lama.

Digelar Super Dan, prestasi pemain berstatus bintang itu dilihat menurun sejak beberapa tahun lalu kerana faktor usia dan kecederaan.

Dia sering menyatakan mahu beraksi di Tokyo namun dengan rankingnya kini di kedudukan ke-19 selain penangguhan temasya sukan terbesar dunia itu, ia dilihat sukar untuknya.

“Keupayaan fizikal saya tidak mampu lagi menandingi rakan sepasukan,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/2020/07/596480/super-dan-akhirnya-bersara