Perlu bijak cari duit tepi

KUANTAN: Walaupun pahit untuk diterima, pemain perlu menyedari bayaran gaji mereka akan berakhir jika saingan Liga Malaysia (Liga M) terpaksa melabuhkan tirai lebih awal berikutan pandemik COVID-19.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, majikan tidak mungkin dapat membantu pemain dalam jangka masa panjang terutama membabitkan perbelanjaan yang besar setiap bulan.

Katanya, walaupun kontrak pemain masih lagi berbaki namun dalam kes ini kontrak mereka bila-bila masa boleh terbatal disebabkan faktor bencana walaupun tanpa persetujuan pemain itu sendiri.

Justeru menurutnya, penyelesaian secara profesional perlu dilakukan dengan cara duduk berbincang antara pemain dan majikan, selagi kata putus tidak dapat dicapai jalan penyelesaian tidak mungkin dapat dicapai.

“Mungkin terdapat majikan yang prihatin terhadap nasib pemain mereka akan membuat bayaran separuh gaji selama tiga bulan bermula Mac namun itu bergantung kepada sumber kewangan semasa,” katanya.

Jamal Nasir berkata, di era profesional sekarang persatuan bola sepak dan kelab terpaksa menyediakan perbelanjaan besar untuk menguruskan pasukan dengan beberapa pasukan berstatus bintang menyediakan peruntukan puluhan juta ringgit setahun membayar gaji pemain termasuk kos lain.

“Dalam kes ini saya berpendapat pemain yang memiliki kemahiran berniaga boleh menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, dengan cara itu dapat menampung perbelanjaan keluarga, membayar bil, rumah dan kenderaan.

Sumber : BH

“Pemain perlu mencari pendekatan terbaik bagi menghadapi situasi mencabar kini, fikirkan keluarga yang memerlukan pembelaan secara berterusan dan lupakan seketika status pemain bola sepak yang disanjung peminat sebelum ini,” katanya.