PH Johor Ajak UMNO

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor sedia menjalinkan hubungan dengan UMNO bagi mewujudkan kerajaan negeri sekiranya parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata UMNO perlu menjadi ‘gentleman’ dalam membuat keputusan dengan tidak melakukan ugutan politik di saat negara berhadapan wabak COVID-19.

Katanya, PH Johor bersedia menerima ADUN khususnya yang pernah bersama PH ketika Pilihan Raya Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mahupun mana-mana ADUN UMNO untuk kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

“UMNO Johor kini mempunyai 14 Ahli ADUN dan jika mereka memutuskan untuk tidak menyokong PN lagi, maka kedudukan PN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor goyah berikutan mereka mempunyai kelebihan dua wakil rakyat iaitu 29 berbanding PH Johor, 27 ADUN.

“Namun UMNO Johor perlulah ikhlas dan jangan mengharap habuan dan sebagainya, kerana kami di PH adalah sebuah parti yang telus dalam menjaga kepentingan dan kestabilan negeri.

“Jika UMNO membuat keputusan keluar PN, kita sama-sama perlu kembalikan mandat rakyat sewaktu pilihan raya lalu dengan menitikberatkan soal kebajikan dan hak rakyat, bukannya merebut-rebut mengejar jawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aminolhuda mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam yang dilaporkan berkata, parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik PN dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Keputusan itu mampu memberi kesan kepada kedudukan kerajaan Johor berikutan 14 daripada 29 Ahli ADUN PN adalah daripada UMNO manakala 14 lagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), MIC (dua) dan PAS (satu).

PH pula mempunyai 27 kerusi DUN membabitkan 14 kerusi daripada DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) (sembilan) dan PKR (empat).

Mengulas lanjut, Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani dan Ketua Pembangkang DUN Johor berkata, pada masa ini, semua pihak seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat dan negara berbanding agenda dan kepentingan individu.

“Bagaimana rakyat mahu menikmati pemerintahan yang baik sekiranya perkara ini terus berlaku. Rakyat kini dilihat seperti tidak menjadi kepentingan kerajaan PN Johor apabila mereka kini lebih sibuk menjaga bilangan ADUN berbanding menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/10/741874/ph-johor-ajak-umno-bentuk-kerajaan-negeri