Punca Kemelut Pemilik Kelantan FC / FAM

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menggesa kemelut antara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dengan badan induk itu dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) diselesaikan dengan cara baik.

Justeru, beliau menjelaskan perbincangan bersemuka sebagai satu keluarga bola sepak perlu dilakukan bagi mendapat titik penyelesaian terbaik terhadap salah faham yang timbul antara semua pihak terbabit.

“Orang macam Zamsaham (Norizam) tidak ramai. Kita sedar tidak ramai yang mahu melabur duit mereka sendiri dengan banyak. Keluarga bola sepak tempatan tentu menyambut baik kehadiran tokoh seperti Zamsaham untuk mewarnai dan membantu industri bola sepak negara.

“Eloklah kita selesaikan salah faham ini dengan cara baik. Saya diberi mandat untuk menjemput Norizam berbincang dengan baik bersama Stuart Ramalingam (Setiausaha Agung FAM) dan Datuk Ab Ghani Hassan (Ketua Pegawai Eksekutif MFL) dalam tempoh terdekat ini,” katanya, semalam.

Kemelut Norizam dengan FAM dan MFL tercetus selepas terdapat laporan media yang mendakwa skuad The Red Warriors (TRW) boleh dikenakan pemotongan tiga mata akibat masalah tunggakan gaji.

Laporan berkenaan dipercayai menjadi punca Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham membangkitkan beberapa perkara termasuk mengenai ranking skuad Harimau Malaya selain mendakwa MFL tidak membayar hak penyiaran dan pengadil.

Stuart bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan seperti yang dilaporkan media terbabit.

Malah, Mohd Yusoff juga menegaskan kemelut itu berpunca daripada salah faham gara-gara laporan media yang tidak patut dibiarkan berpanjangan di saat industri bola sepak tempatan sedang bergelut dengan cabaran wabak COVID-19.

“Sebab itu saya serahkan kepada FAM dan MFL untuk berbincang dengan elok seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak,” katanya.

Sumber : BH