Ramai Terkejut

KUALA LUMPUR: Jurulatih dan pemain Liga Malaysia (Liga M) meluahkan rasa terk3jut serta sedih dengan pembatalan baki saingan Piala Malaysia musim ini.

Namun, mereka tetap akur dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menolak rayuan bagi meneruskan kejohanan itu.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengakui sedikit terk3jut dengan keputusan itu tetapi memahami kepentingan kesihatan awam perlu diutamakan dalam memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung.

“Piala Malaysia adalah kejohanan paling berprestiji di negara ini, malah tertua di Asia Tenggara serta terlalu banyak sejarah yang kita boleh perkatakan.

“Seingat saya Piala Malaysia kali terakhir dihentikan pada 1947 dulu dan apabila dibatalkan pada tahun ini, rasanya memang sukar dipercayai serta diterima oleh semua warga bolasepak,” katanya.

Pemain import Terengganu FC (TFC), Lee Tuck turut berkongsi perasaan sedih sambil mengakui sudah meletakkan matlamat mahu mendapatkan satu trofi buat pasukannya pada musim ini.

Bagaimanapun, perkhabaran slot ke Piala AFC musim depan yang diberikan kepada TFC selaku pasukan tangga ketiga Liga Super sedikit sebanyak memberikan penawar buat Lee Tuck selepas tiga musim bersama skuad dari Pantai Timur itu di Liga M.

“Sebagai pemain, sudah tentu terkilan kerana kami melakukan persiapan yang cukup rapi, tambahan saya rasa musim ini TFC mempunyai peluang untuk memenangi Piala Malaysia.

“Saya yakin bukan sahaja pemain tetapi pengawai, peminat dan penaja juga berasa sedih dengan pembatalan Piala Malaysia kerana tidak menjangka situasi ini berlaku. Namun, kita semua tiada pilihan untuk menerima keputusan dikeluarkan,” katanya.

Keputusan untuk membatalkan Piala Malaysia dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu ditolak oleh MKN.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan MKN menolak rayuan MFL untuk meneruskan saingan Piala Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusof seakan tidak percaya dengan pembatalan Piala Malaysia selepas pasukannya sudah memberikan fokus terhadap pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir.

“Sejak saya menjadi jurulatih sejak 2005, saya rasa ini adalah pengalaman paling pahit apabila Piala Malaysia dibatalkan dan rasanya semua orang pasti kecewa terhadap apa yang terjadi.

“Apa yang saya harapkan hanya satu, musim 2021 kita akan kembali merasai musim bola sepak yang kita rindukan selama ini iaitu semua pertandingan mampu dijalankan selain kehadiran penonton,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/11/753617/jurulatih-pemain-terkejut-sedih-pembatalan-piala-malaysia