RM4000-RM5000 Sudah Cukup

KUALA LUMPUR: Jika penubuhan Harimau Muda 2.0 dapat dijayakan, adakah pemain mereka akan tetap menerima gaji seperti pemain profesional yang lain dan tidak hanya bagai buat ‘kerja amal’?

Itu antara perkara yang perlu menjadi pertimbangan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak berkaitan sekiranya mahu meneruskan perancangan untuk membentuk pasukan pelapis negara yang dijangka beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menjangkakan faktor kewangan mungkin menjadi kekangan yang perlu dihadapi oleh FAM dalam memastikan program terbabit dapat bertahan dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bersetuju dengan pendekatan terbabit bagi meneruskan kesinambungan lepasan daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk terus beraksi dan mendapat pendedahan.

“Mestilah pemain yang main Harimau Muda ini perlu dibayar gaji juga sama seperti pemain profesional yang lain. Dalam hal ini, FAM perlu bijaklah mencari dana yang diperlukan untuk menjayakan program ini.

“Tetapi saya rasa duit bukan satu masalah yang besar sebab FAM boleh tetapkan berapa gaji yang wajar dibayar pada mereka. Mengambil kira usia lepasan AMD, saya anggap RM4,000 ke RM5,000 sudah cukup untuk mereka.

“Tidak perlu mewahkan mereka dengan gaji puluhan ribu pada usia sebegini. Biar mereka bermain dan berkembang dan selepas itu, mereka boleh mencari gaji puluhan ribu dengan pasukan lain yang berminat,” katanya.

Dalam masa sama, Zolkples mengharapkan pihak yang terbabit dapat membuat analisis berdasarkan pengalaman sebelum ini bagi mengenalpasti kelemahan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk program yang bakal ‘dihidupkan’ semula itu nanti.

“Kita sudah ada program ini dahulu. Jadi tengok semula dan lihat kalau kita boleh tambahbaikkan supaya ia dapat berjalan untuk jangka masa panjang bagi mencapai matlamat yang dimahukan.

“Ini sememamgnya satu program yang baik supaya pasukan pelapis dihimpunkan dalam satu pasukan yang tetap dan membantu perkembangan mereka. Bola sepak adalah sukan berpasukan yang memerlukan latihan dan penyertaan bersama dalam tempoh yang panjang bagi membentuk keserasian, kerjasama serta semangat sepasukan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa turut senada dengan Zolkples apabila mengakui ia satu langkah yang bijak untuk dilaksanakan dalam situasi ketika ini.

Jelasnya, pandemik COVID-19 yang pasti mengehadkan perbelanjaan menyaksikan tidak semua lepasan AMD berpeluang menyertai pasukan Liga Malaysia (Liga M) namun penubuhan Harimau Muda 2.0 dapat menampung kekurangan ini.

“Lebih baik kalau kita boleh tubuhkan dua pasukan Harimau Muda di mana satu bermain di Liga Perdana dan satu lagi di Liga M3. Ini kerana pemain memerlukan pendedahan dan dengan pembabitan mereka dapat liga tempatan, mereka boleh mengutip pengalaman,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/761813/gaji-rm5000-sudah-memadai