Ronaldo, United Kembali Bertaut?

LONDON: Manchester United dijangka membuat tawaran sensasi untuk membawa Cristiano Ronaldo kembali ke Old Trafford.

Bintang Juventus itu mengharungi enam musim cemerlang bersama The Red Devils dan dianggap antara pemain terhebat kelab itu.

Pada usia 35, dia kekal sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia dan ketajamannya di depan gawang masih berbisa.

Bagaimanapun, difahamkan Juventus akan melepaskannya jika gergasi Itali itu gagal memenangi Liga Juara-Juara musim ini, selain mengurangkan beban kewangan kelab.

Menurut laporan media Portugal, United dan Paris Saint-Germain (PSG) berminat mendapatkan khidmat Ronaldo dan sudah menghubungi ejen pemain berkenaan, Jorge Mendes.

Bagaimanapun, pemenang lima kali Ballon d’Or yang berusia 36 tahun pada Februari lalu mahu kekal fokus bersama Juventus buat masa sekarang.

Ia memerlukan sesuatu yang istimewa jika United mahu membawa semula Ronaldo ke Theatre of Dreams selepas 12 tahun menjualnya dengan harga rekod dunia 80 juta pound (RM434.4 juta) ketika itu kepada Real Madrid.

Ronaldo menyertai Red Devils daripada Sporting Lisbon pada 2003 dan meledak 118 gol dalam 292 perlawanan.

Dia membantu United menjuarai tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut selain membantu kelab menjuarai Liga Juara-Juara pada 2008 dan Ronaldo meraih anugerah Ballon d’Or pertamanya tahun itu.

– AGENSI

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/11/753995/ronaldo-bakal-kembali-ke-old-trafford