Ubi Selangor Curi Tumpuan

KUALA LUMPUR: Safawi Rasid ‘berdepan’ tiga rakan sepasukan di Johor Darul Ta’zim (JDT) – Gonzalo Cabrera, Afiq Fazail dan Leandro Velazquez – selepas mereka tersenarai kategori Pemain Tengah Terbaik bagi Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual.

Berdasarkan senarai calon yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini, perancang tengah Selangor, Brendan Gan, Leandro Dos Santos (Perak), Lee Tuck (TFC) dan Nor Azam Azih (Pahang) juga menjadi pesaing bagi merebut anugerah kategori itu.

Kategori Penyerang Terbaik juga tidak kurang hebatnya apabila menemukan peledak berbisa Selangor yang juga penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun dengan penjaring terbanyak Liga Perdana, Casagrande (Pulau Pinang) dan penjaring terbanyak tempatan Liga Super, Shahrel Fikri Fauzi (Perak).

Satu lagi kategori yang dijangka menarik tumpuan adalah bagi kategori Pertahanan Terbaik yang menyaksikan persaingan beberapa ‘kereta kebal’ dalam Liga Malaysia (Liga M) membabitkan Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT), La’Vere Corbin-Ong (JDT), Shahrul Saad (Perak) dan Shakir Hamzah (Kedah).

Sementara itu, kategori Jurulatih Terbaik pula menyenaraikan pengendali yang menonjol dalam Liga M merangkumi Benjamin Mora (JDT), Aidil Sharin Sahak (Kedah) dan Manzoor Azwira Abd Wahid (Pulau Pinang).

ABK20 Virtual yang dijadualkan pada 30 Disember ini juga buat julung kalinya membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Senarai 10 calon yang terpilih bagi setiap kategori ini akan dihantar kepada juri profesional yang terdiri daripada 24 ketua jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media bagi menyumbang 70 peratus kiraan mata.

Baki 30 peratus lagi kiraan mata akan diundi oleh penyokong menerusi undian di platform Elfo bermula jam 10 pagi esok hingga 11.59 malam, Jumaat ini.

Pada majlis ABK20 Virtual itu nanti, MFL akan turut menyampaikan Anugerah Kasut Emas 2020 dan Penjaring Terbanyak Liga Super 2020 kepada iaitu Ifedayo yang meledak 12 gol bersama Selangor.

Shahrel Fikri yang mengumpul 10 gol bersama Perak akan menerima Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2020, manakala penyerang Pulau Pinang, Casagrande yang menghasilkan sembilan gol dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Perdana 2020.

Turut mencuri perhatian, penyerang muda Selangor 2, Danial Asri yang meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana 2020 dengan ledakan tujuh gol.

Berikut adalah senarai penuh calon lima kategori ABK20 Virtual:

Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (Johor Darul Ta’zim- JDT), Iqbal Suhimi (Kuching FA), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Khairulazhan Khalid (Selangor), Remezey Che Ros (UKM FC), Samuel Somerville (Pulau Pinang), Sharbinee Allawee Ramli (Pahang), Suhaimi Husin (Terengganu FC II), Zamir Selamat (Kuala Lumpur)

Pertahanan Terbaik: Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT), Azmi Muslim (Pulau Pinang), La’Vere Corbin-Ong (JDT), Matthew Davies (JDT), Rafiuddin Roddin (Perak), Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Shahrul Saad (Perak), Shakir Hamzah (Kedah), Victor Nirennold (UiTM FC), Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (Melaka)

Pemain Tengah Terbaik: Afiq Fazail (JDT), Brendan Gan (Selangor), Faisal Abdul Halim (Pahang), Gonzalo Cabrera (JDT), Leandro dos Santos (Perak), Leandro Velazquez (JDT), Lee Tuck (Terengganu FC), Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Safawi Rasid (JDT), Syahmi Safari (Selangor)

Penyerang Terbaik: Casagrande (Pulau Pinang), Diogo (JDT), Dominique da Sylva (Terengganu FC), Engku Nur Shakir Engku Yacob (Terengganu FC II), Fernando Rodriguez (JDT II), Francis Kone (Kuala Lumpur), Ifedayo Omosuyi (Selangor), Ramadhan Saifullah Usman (JDT), Shahrel Fikri Fauzi (Perak), Tchetche Kipre (Kedah)

Jurulatih Terbaik: Aidil Sharin Sahak (Kedah), Akira Higashiyama (Kuching FA), Benjamin Mora (JDT), Frank Bernhardt (UiTM), Manzoor Azwira Abd Wahid (Pulau Pinang), Mehmed Durakovic (Perak), Michael Feichtenbeiner (Selangor), Nafuzi Zain (Terengganu FC), Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur) Yusri Che Lah (Kelantan)

Sumber-https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/767092/abk20-safawi-berdepan-cabaran-3-rakan-jdt