Safawi Kesal!!

KUALA LUMPUR: Pada ketika mood masih dibuai kerinduan terhadap keluarga, Safawi Rasid melahirkan rasa kesal terhadap segelintir media yang menjaja kisah peribadinya berbanding penghijrahan ke Portimonense SC.

“Salam, cakap kat media lain jangan buat story (berita) pasal personal life (kisah peribadi) saya,” tulisnya ringkas dalam WhatsApp kepada Utusan Malaysia semalam.

Safawi sebelum itu melepaskan geram dengan meluahkan perasaan dalam Twitter.

“Saya datang sini (Portugal) untuk kerja. Saya tak nak dengar kisah tentang kehidupan saya.

“Harap media faham. Kalau sebab kerja tiada masalah bro, hormat sikit,” tulisnya.

Difahamkan, Safawi kecewa apabila berita mengenai hubungannya dan pelakon Syifa Melvin menjadi tumpuan media sebaik sahaja dia berlepas ke Portugal.

Mendengar berita itu, Safawi yang sudah berada di Portugal, meluahkan kekesalannya dalam media sosial.

“Temubual pun tak, sedap-sedap buat berita. Semoga Allah balas apa yang kau orang buat,” tulisnya.

Pemain kelahiran Dungun berusia 23 tahun itu berlepas ke Portugal, Ahad lalu selepas membantu Johor Darul Ta’azim (JDT) menjulang Liga Super kali ketujuh berturut-turut.

Dia dipinjamkan selama semusim di Portimonense.

Sumber :https://www.utusan.com.my/sukan/2020/10/jangan-jaja-kisah-peribadi-saya-safawi/