Sah Bersama Pasukan Baharu

Junior Eldstal membuat keputusan untuk kembali ke Asia Tenggara dengan menyertai kelab Thailand, Chonburi FC untuk baki saingan musim ini.

Pemain kacukan Malaysia-Sweden berusia 29 tahun itu kembali selepas dua tahun meninggalkan JDT pada hujung musim 2018.

Ini juga bermakna, Junior menjadi pemain Malaysia terbaru yang beraksi di Thailand selepas Kiko Insa, Curran Ferns, Shahrel Fikri, Dominic Tan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh.

Menurut laman sesawang rasmi Chonburi FC, Junior telah melengkapkan tempoh kuarantin 14 hari selepas tiba di Thailand dan menandatangani kontrak rasmi di Stadium Chonburi yang terletak 96km dari Bangkok.

“Saya cukup teruja,” kata Junior.

“Chonburi FC adalah sebuah kelab dengan sejarah yang panjang, salah sebuah kelab besar di Liga Thailand dan ini adalah peluang yang baik untuk saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan perpindahan ini.

“Saya akan berusaha melakukan yang terbaik, 100 peratus, dalam setiap permainan setiap kali diberikan peluang beraksi. Saya mempunyai pengalaman dalam Liga Malaysia termasuk bola sepak peringkat Asia.

“Sudah tentu, saya berharap dapat menggunakan pengalaman saya sebelum ini untuk membantu pasukan semaksimum mungkin, malah Chonburi FC mempunyai ramai pemain muda, jadi saya teruja untuk berkongsi pengalaman saya dengan mereka.

“Saya sangat teruja menjadi sebahagian daripada bola sepak Thailand dan sebahagian daripada Liga Thailand, saya harap dapat bertemu dengan semua orang di padang tidak lama lagi.”

Junior bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain kebangsaan Filipina, Carli De Murga yang membuat keputusan untuk menyertai Terengganu bagi musim 2021.

Sejak 2019, beliau beraksi dengan kelab semi-pro England, Metropolitan Police FC yang beraksi di Liga Bola Sepak Selatan, liga divisyen 7 dalam sistem piramid bola sepak England.

Namun, disebabkan liga semi-pro di England dibatalkan akibat Covid-19, ia memaksa sejumlah besar pemain untuk mencari sumber pendapatan baharu.

Junior dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dan mempunyai ibu yang berasal dari Sabah dan bapa yang berasal dari Sweden namun keluarganya berpindah ke London, UK ketika usianya 2 tahun.

Namun sejak kecil lagi beliau menunjukkan minat dalam karier bola sepak apabila menyertai kelab England, Aldershot dan Reading ketika remaja.

Beliau memulakan karier di kelab semi-pro England, Slimbridge pada 2012 sebelum memulakan karier profesional apabila membuat keputusan untuk berhijrah ke Malaysia dengan menyertai Sarawak pada 2013.

Di Sarawak, Junior menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila membantu pasukannya muncul juara Liga Perdana sehingga tersenarai dalam skuad kebangsaan dibawah kendalian K. Rajagobal ketika itu.

Malah, beliau turut membantu pasukan B-23 memenangi Pestabola Merdeka pada 2013 serta terpilih untuk beraksi di Sukan Asia Incheon 2014.

Junior kemudian menyertai JDT pada hujung 2014 dan kekal dengan kelab dari selatan tanah air selamat empat tahun.

Di JDT, Junior membantu pasukannya memenangi 9 piala iaitu 3 kali juara Liga Super, 3 kali juara Piala Sumbangsih, 1 Piala FA, 1 Piala Malaysia serta memenangi kejohanan peringkat Asia, Piala AFC pada 2015.

Sumber : vocketfc