Sah Sarung Jersi Selangor FC

Kuala Lumpur: Skuad Red Giants terus mengukuhkan pasukan menjelang saingan Liga Super musim ini apabila sah menandatangani bekas tonggak tengah Real Zaragoza, Oliver Buff. Pengesahan itu sekali gus mengesahkan laporan Arena Metro pada 24 Disember lalu yang mengaitkan Buff sebagai arkitek baru Selangor FC musim ini.

Jelas pemain yang berasal dari Switzerland itu, dia bersetuju menyertai skuad Merah Kuning selepas tertarik dengan perancangan jangka panjang untuk mengembalikan kegemilangan pasukan.

“Rancangan Selangor FC untuk kembali melakar kegemilangan membuatkan saya yakin bahawa ini akan menjadi tempat terbaik untuk saya mengembangkan karier bola sepak di negara yang indah ini,” katanya.

Berasal dari Baden, Switzerland, Buff pernah membarisi skuad remaja negara kelahirannya bersama pasukan B-15 sehingga B-21 tahun dan beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk beraksi di temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Dia juga pernah menjulang kejuaraan Piala Dunia B-17 bersama negaranya pada tahun 2009.

Mesra dengan panggilan Oli, dia juga pernah menyarung jersi pasukan remaja FC Zürich di Switzerland dari tahun 2007 dan berjaya melakukan debut untuk pasukan utama kelab gergasi negara itu pada pertengahan tahun 2010.

Dianggap salah seorang tonggak utama FC Zürich sewaktu membantu kelab itu menjulang Piala Swiss pada musim 2013-2014 dan 2015-2016, Buff sudah membuat sebanyak 217 penampilan dan menjaringkan 28 gol serta 31 bantuan gol untuk kelab itu.

Pada tahun 2017, dia berhijrah ke Sepanyol untuk bersama Real Zaragoza dan melakukan sebanyak 41 penampilan sepanjang dua tahun bersama kelab berkenaan.

Selangor FC adalah kelab Asia pertama buatnya dan dia merasakan ini peluang terbaik untuk mengembangkan karier bola sepaknya di benua ini.

“Saya mendapat panggilan telefon dari ejen mengenai projek di Malaysia bersama Selangor FC dan saya juga sempat bercakap bersama ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel dan Pengarah Teknikal Red Giants, Michael Feichtenbeiner mengenai rancangan mereka.

“Dari minit pertama lagi saya benar-benar yakin bahawa saya ingin menjadi sebahagian dari keluarga Merah Kuning,” katanya.

Sumber : HM