Sanusi Kena Hentam?

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu, Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan, tinggalan hutang lama yang ditanggung oleh persatuan itu mencecah hingga RM10.6 juta ketika ini.

Beliau menjelaskan, hutang itu tidak hanya meliputi gaji pemain malah melibatkan beberapa perkara lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyedia tiket pe­ngangkutan pasukan.

“Perkara ini bukan baru terjadi dua minggu lepas tetapi sejak tahun lalu. Pada masa itu tiada siapa merungut tetapi apabila saya pegang jawatan ini baru dua minggu, semua pakat hentam saya.

“Sepatutnya pergi kepada bekas presiden yang bertanggungjawab cetuskan semua ini. Kenapa beliau buat pelan per­belanjaan tidak bersandarkan keupayaan sebenar KFA dan mengapa tandatangani pemain dengan gaji sampai RM125,000?” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan tarikan terbaharu pelancongan di Menara Alor Setar dikenali sebagai Star View di Alor Setar semalam.

Isu mengenai status kewangan KFA hangat dibincangkan dalam kalangan peminat ekoran tularnya keluhan pemain-pemain bola sepak Kedah di laman sosial masing-masing yang dikatakan tidak mendapat gaji hampir lima bulan.

Sanusi yang juga Menteri Besar bagaimanapun menegaskan, beliau sama sekali tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan wang kerajaan negeri untuk membayar hutang-hutang tersebut termasuk gaji pemain.

“Kalau peminat prihatin gaji pemain, saya pun sama juga. Tetapi saya sama sekali tidak akan mengambil duit kerajaan negeri untuk bayar semua ini.

“Ini duit anak yatim, orang miskin, ibu tunggal, sekolah dan pembangunan orang ramai. Kalau lantik Menteri Besar jadi pre­siden supaya ambil duit negeri untuk selesaikan hal bola, saya sama sekali takkan lakukan,” katanya.

Sementara itu katanya, me­syuarat KFA pada 3 Ogos depan bakal menjadi medan untuknya menilai semula komitmen serta pelan dilaksanakan KFA pada masa lalu.

“Kalau perlu ‘overhaul’ semua dalam KFA atau buat pemoto­ngan gaji, saya akan lakukan. Contohnya kalau kita rasa keupayaan sebenar bayar gaji RM20,000, maka kita bayarlah sebanyak itu.

“Siapa sanggup main untuk Kedah dengan bayaran itu, sila tunggu. Kalau rasa gaji sepatutnya lebih daripada itu, KFA sedia buka pintu untuk mereka cari tempat lebih baik dari segi kewangan,” katanya. – K! ONLINE

Sumber : https://www.kosmo.com.my/2020/07/27/kepimpinan-baharu-kfa-dedah-hutang-cecah-rm10-6j/