Saya Dah Bagi Yang Terbaik

KUANTAN: Pemain berpengalaman, Azamuddin Mohd Akil kini mampu tersenyum apabila tenaganya masih diperlukan skuad Kedah buat musim kedua berturut-turut.

Dia yang lebih terkenal dengan panggilan Alex berkata, hanya ucapan terima kasih dapat diluahkan kepada pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang mengekalkannya musim depan.

“Saya sudah memberi persembahan terbaik musim ini dalam usaha memastikan pasukan Kedah mencatat kejayaan dalam Liga Malaysia (Liga M) seterusnya saingan Piala Malaysia,” katanya.

Azamuddin yang dilahirkan di Kampung Relong, Kuala Lipis berkata, tiada janji manis yang dapat ditaburkan kepada KFA musim depan melainkan untuk memberi persembahan terbaik dalam usaha membalas kepercayaan diberikan. “Saya gembira dapat terus bergandingan dengan pemain sedia ada yang memiliki semangat dan kesungguhan tinggi untuk mencatat kejayaan.

“Sokongan tidak berbelah bahagi penyokong skuad Lang Merah dapat membangkitkan lagi semangat pemain ketika beraksi di tengah padang,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/760462/alex-janji-pulun-musim-depan