“Saya Kesunyian”

KUALA LUMPUR: “Saya kesunyian,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam catatan terbaharu mengenai pemergian sahabat beliau, tokoh politik Kedah yang juga veteran UMNO, Tan Sri Khalid Abdullah, semalam.

Dr Mahathir meluahkan perasaan itu menerusi catatan terbaharu dalam blog rasmi beliau http://chedet.cc/ yang turut disiarkan dalam Facebook miliknya.

Khalid, 98, yang juga dikenali dengan nama Khalid Julong meninggal dunia jam 5.50 pagi semalam, selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Kedah Medical Centre (KMC) sejak Ahad lalu.

Katanya, dengan pemergian Khalid maka tamatlah satu generasi pejuang Melayu.

“Khalid, Azahari Taib, Khir Johari, Khir Pa’ Awang, Hj Taha, Chegu Senu dan lain-lain sudah tidak ada.

“Tinggal saya seorang. Saya sedih. Semua mereka kawan lama. Saya kesunyian,” katanya.

Mengimbau kenangan bersama Khalid, Dr Mahathir berkata, beliau berkenalan dan berdamping dengan Khalid dalam arena politik sebaik sahaja perang Dunia Kedua tamat.

“Kami berada dalam Saberkas (Syarikat Kerjasama Am Saiburi bermaksud bermaksud Persatuan Kerjasama Rakyat Kedah), sekumpulan anak Melayu yang memiliki kesedaran akan bangsanya.

“British merancang untuk rampas negeri-negeri Melayu untuk dijadikan tanah jajahan mereka. Malayan Union akan tamatkan kewujudan orang Melayu dengan Tanah Melayu mereka.

“Saya berdoa roh arwah Khalid Julong akan dirahmati Allah SWT,” katanya.

Sebelum ini, dalam wawancara pada Oktober tahun lalu, Dr Mahathir berkata, kesemua sahabat lamanya sudah meninggal dunia kecuali Khalid dan Osman Kuda yang juga berusia 90-an.

Khalid yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Merah (1975-1980) pernah memegang jawatan antaranya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Tokoh Maal Hijrah 2008 itu, meninggalkan seorang balu, lima anak (seorang sudah meninggal dunia), 17 cucu dan 24 cicit.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/755992/tun-m-sunyi-rakan-seperjuangan-meninggal-dunia