“Saya Nyata Terkejut”

BERSAING dengan ribuan pemain bola sepak membabitkan warga Serbia dan negara Balkan antara cabaran yang perlu dilalui oleh Omar Raiyan Kama Azlan,15, untuk dipilih secara merit menyertai pasukan pembangunan kelab Serbia, Red Star Belgrade.

Situasi berkenaan bukannya mudah berikutan Omar boleh dikatakan warga Asia pertama dipilih menyertai kelab terbabit di peringkat akar umbi selepas barisan kejurulatihan terpukau dengan aksinya ketika menjalani sesi pemilihan.

Arena Metro yang berkesempatan menghubungi bapanya, Kama Azlan Muhammad berkata, sebelum ini Omar sudah bergiat aktif bermain bola sepak ketika mereka menetap di Abu Dhabi.

Berikutan penghijrahan ke Serbia atas dasar perniagaan bapanya sejak Julai tahun lalu, Omar cuba mengetuk peluang supaya bakat yang dimilikinya tidak disia-siakan.

Saya ternyata terkejut kerana aksinya ketika sesi pemilihan berjaya memikat barisan kejurulatihan kerana kita sedia maklum untuk memasuki kelab terbabit bukanlah mudah.

Pada peringkat awal mungkin agak mencabar kerana perlu memahami bahasa asing tetapi Omar mudah berkawan dan pantas menyesuaikan diri serta diterima oleh pasukannya, katanya ketika dihubungi.

Kama Azlan yang lahir di Petaling Jaya tetapi berasal dari Batu Pahat berkata, anaknya kini dalam usaha mendaftar sebagai pemain profesional seterusnya berpeluang mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi lagi.

Pada masa sama Omar juga menyimpan hasrat dapat menabur bakti bersama skuad kebangsaan kerana itu antara matlamatnya apabila bergelar pemain professional.

Sama-samalah kita mendoakan Omar kerana perjalanannya masih jauh dan mencabar, katanya.