Saya Sedar Diri

Baru-baru ini hangat diperkatakan gosip mengenai anak jutawan kosmetik Datuk Seri Vida iaitu Cik B berhubung gosip yang mendakwanya menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon baharu, Aniq Suhair.

Bagaimanapun, Cik B berkata dia sedar akan dirinya dan berpijak kepada bumi nyata bahawa sudah tentu mungkin Aniq mahukan teman wanita yang cantik. Ujarnya lagi, dia hanya menganggap Aniq sebagai rakan sekerja sahaja.

“Tak mungkin Aniq mahukan saya, mesti dia pilih teman wanita yang cantik. Hakikatnya, tiada apa-apa yang berlaku antara kami. Saya menganggap Aniq lebih kepada rakan kerja dalam arena seni.

“Lagipun, kami baru bertatih dalam dunia lakonan. Secara kebetulan, kami menjadi pasangan kekasih dalam drama arahan Emi Suffian itu. Jadi, tak salah kami saling mengusik dalam media sosial.

“Hubungan tak lebih daripada seorang kawan. Bagaimanapun, ada yang menganggap kami menjalin hubungan serius,” katanya kepada BH Online.

Dikecam oleh netizen susulan gosip tersebut, bagaimanapun Cik B berkata dia sudah biasa dengan kecaman sejak dulu lagi. Ujarnya, dia tidak pernah memikirkan soal perasaan, malah sebelum ini dia pernah merasakan tidak memerlukan lelaki dalam hidup.

“Jujurnya, saya sudah terbiasa berdepan dengan kecaman sejak dahulu lagi. Sebelum ini, fizikal dan warna kulit saya pernah dipersendakan. Inikan pula digosip dengan pelakon berwajah jambu seperti Aniq.

“Netizen mengecam saya ‘feeling’ dan tergedik-gedik mahukan lelaki kacak. Malah, ada yang hina saya tak layak menerima cinta atau bercinta dengan lelaki tampan.

“Saya sedar diri ini, saya bukannya datang dengan pakej cantik. Saya tak pernah fikir soal perasaan, selama ini. Saya pernah merasakan tak perlu lelaki dalam hidup. Mama pun sudah membuktikan boleh hidup selepas dikecewakan lelaki,” katanya.

Sumber : https://www.rotikaya.com/saya-sedar-diri-tak-mungkin-aniq-nak-saya/