Sedang Menunggu Tawaran

Kuantan: Penyerang lincah, Mohd Fauzi Roslan menafikan ada menerima tawaran daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk beraksi bersama Tok Gajah musim depan.

“Dakwaan saya antara beberapa bekas pemain Pahang akan dipanggil semula untuk menguatkan skuad Tok Gajah musim depan adalah tidak benar, itu semua adalah rekaan pihak tertentu sahaja.

“Saya kini masih menunggu tawaran pasukan baharu untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional terutama selepas kontrak bersama Sarawak United tidak disambung,” katanya.

Menurut pemain kelahiran Pekan itu, kancah bola sepak Liga Malaysia (Liga M) kini semakin mencabar terutama membabitkan persaingan merebut tempat dalam pasukan, kemunculan ramai pemain muda menyebabkan pemain senior perlu berusaha lebih gigih mengekalkan prestasi.

Mohd Fauzi yang lebih terkenal dengan panggilan Koji berkata, dia tidak pasti lagi nasibnya musim depan sama ada dapat terus beraksi dalam Liga M atau sebaliknya, kini hanya tunggu tawaran sahaja.

“Di hati ini masih menebal keinginan untuk terus beraksi dalam Liga M dalam tempoh beberapa tahun lagi, saya yakin pengalaman serta tenaga yang ada masih dapat membantu pasukan bersaing dalam Liga Super, Liga Perdana dan Liga M3.

“Saya akan berusaha memberi persembahan terbaik untuk pasukan sekiranya diberi tanggungjawab, saingan Liga M sememangnya menarik dan amat sukar untuk saya tinggalkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Selepas meninggalkan Tok Gajah, Mohd Fauzi berkelana mewakili Kelantan dan Melaka United (MU) serta musim ini bersama Sarawak United.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/12/649038/koji-sangkal-ada-tawaran-dari-tok-gajah