Sedih Tiada Dalam Perancangan Pasukan

Pemain tengah, Lee Tuck, mengakui ada perbincangan di antaranya dan Pahang untuk perancangan musim depan.

Namun, masih belum ada sebarang kata putus ketika dia turut menegaskan beberapa pasukan lain seperti Kuala Lumpur, PJ City dan Kedah turut memancing kelibatnya.

“Saya sedang mempertimbangkan tawaran yang sesuai buat saya termasuk buat keluarga juga.

“Saya akan umumkan perkembangannya sedikit masa lagi tetapi buat masa ini belum boleh.

“Saya ada berbincang dengan Pahang dan kelab lain juga,” katanya ketika diwawancara di atas talian dengan Astro Arena, sebentar tadi.

Bekas ketua pasukan Terengganu itu mendedahkan dia melewati saat sukar untuk mengucapkan selamat tinggal buat Sang Penyu selepas tiga tahun.

Lebih pedih, dia tiada dalam perancangan pasukan itu selepas pasukan berkenaan layak beraksi dalam Piala AFC musim depan.

“Selepas tiga tahun di sini, saya berasa sedih memandangkan telah mengecapi sasaran selain keterujaan berpeluang menunjukkan kemahiran di peringkat antarabangsa.

“Ia bagaikan dirampas. Saya sudah memainkan peranan membantu pasukan meraih sasaran, namun tiada apa yang boleh saya lakukan.

“Saya menghargai detik ketika di sana, bukan mudah untuk seseorang pemain import di sini dapat dikekalkan lebih dari tiga tahun.”

Sumber : https://www.stadiumastro.com/sukan/liga-super-malaysia/artikel/lee-tuck-sedih-tiada-dalam-perancangan-terengganu/180031