Selangor Dapat Suntikan Dana

Kuala Lumpur: Menjelang saingan Liga Super hujung Februari ini, Selangor FC meraih tonik tambahan apabila menjalinkan kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta sumbangan dana tunai sebanyak RM500,000 sebagai penajaan kepada pasukan Red Giant.

Kerjasama antara Selangor FC dan MBSA dilihat bakal menyalurkan kepakaran dan perkongsian strategik lain seperti logistik, fasiliti dan dalam masa yang sama, usaha memperkasakan bola sepak di peringkat akar umbi di negeri terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, kerjasama ini akan memberikan impak positif kepada kedua-dua entiti dalam memperkasakan sukan bola sepak sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan Gergasi Merah.

“Selangor FC mengucapkan terima kasih atas sumbangan wang tunai, kepakaran dan logistik yang diberikan oleh pihak MBSA dan sudah tentu sumbangan ini akan memperkemaskan lagi persediaan pasukan Selangor untuk musim 2021.”

Kerjasama ini termasuk program pembangunan pasukan elit di bawah Selangor, terutamanya selepas pasukan ini diswastakan sebagai pasukan bola sepak profesional sejak Disember lalu,” katanya.

Dalam majlis ringkas yang berlangsung di Pusat Latihan FAS di Shah Alam itu, turut hadir ialah Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Sementara itu, Haris mengakui jalinan kerjasama itu bakal mengangkat imej Shah Alam sebagai bandar ‘rumah rasmi’ kepada pasukan Selangor FC.

“Kerjasama erat antara Selangor FC dan MBSA sudah lama terjalin. Malahan, bandar raya Shah Alam juga cukup sinonim sebagai rumah kepada pasukan Gergasi Merah.

“Oleh itu, MBSA merasa terpanggil untuk memainkan peranan sebagai salah satu rakan strategik untuk pasukan Selangor,” kata Haris.

Bekas juara 33 kali Piala Malaysia itu kini sedang giat mempersiapkan pasukan di bawah kendalian jurulatih Jerman, Karsten Neitzel bermula Isnin lalu.

Sumber : HM