Kedah, Terengganu FC Antara Yang Tersenarai

KUALA LUMPUR: Pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) manakah yang bakal menggantikan slot Johor Darul Ta’zim (JDT) sekiranya juara Liga Super tujuh kali itu digantung daripada menyertai Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan?

Ketika ini timbul desas-desus yang mendakwa pendaftaran skuad Harimau Selatan itu untuk ke saingan berkenaan ditolak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan ia dipercayai susulan kegagalan menghabiskan baki aksi peringkat kumpulan musim ini di Doha.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada JDT mahupun AFC mengenai khabar angin terbabit namun status sebenar dijangka hanya diketahui minggu depan.

Bagaimanapun, jika benar JDT tidak dapat beraksi di pentas elit itu, slot terbabit tetap dapat diisi oleh sekurang-kurangnya empat pasukan lain dalam Liga M selepas mereka mendapat lesen ke ACL dan memenuhi kriteria untuk bertanding.

Antara kriteria utama untuk bertanding adalah pasukan mesti mendapat lesen ACL selain berdasarkan artikel 7.1 dan 9.5, pasukan selain pemenang piala perlu menamatkan sekurang kurangnya dalam kedudukan ‘separuh terbaik’ (top half) bagi divisyen utama – iaitu enam terbaik bagi Liga Super.

Meskipun semakan di laman rasmi AFC mendapati lapan pasukan Liga M termasuk JDT berada dalam senarai pasukan yang mendapat lesen untuk ke ACL, namun hanya empat daripadanya dilihat memenuhi dua kriteria seperti di atas.

Empat pasukan terbabit adalah Kedah, Terengganu FC (TFC), Perak dan Selangor manakala tiga lagi pasukan iaitu PJ City FC tidak menamatkan saingan dalam kelompok enam terbaik.

FELDA United pula sudah ‘tutup’ kedai sementara Kuala Lumpur yang turut mendapat lesen ke ACL tidak beraksi dalam Liga Super musim lalu.

Sebagai rekod, Malaysia menghuni tangga kelapan daripada 22 negara bagi senarai pasukan terbanyak yang memiliki lesen untuk beraksi dalam ACL pada musim depan.

Secara keseluruhan, Jepun jelas berada pada kelas yang tersendiri selepas 52 pasukan mereka memperolehi lesen ACL dengan 25 daripadanya lesen secara bersyarat untuk menghuni tangga pertama.

Tangga kedua menjadi milik China dengan 19 pasukan disusuli Korea Selatan (17), Myanmar (15 dengan lima bersyarat), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan 14 pasukan, Thailand (12 dengan satu bersyarat) dan Vietnam (10 pasukan).

Selain itu, sembilan pasukan dari Arab Saudi layak bertanding dalam saingan ACL musim depan diikuti Indonesia dan Uzbekistan (tujuh), enam pasukan masing masing daripada India, Iran dan Qatar serta lima pasukan daripada Australia dan Singapura.

Hong Kong pula dengan empat pasukan, Iraq (tiga), Filipina (tiga dengan bersyarat), Jordan (tiga dengan dua bersyarat) serta Tajikistan dan Turkmenistan masing masing dengan wakil tunggal.

Sumber : BH