Senarai Muka Baharu Bakal Dipanggil TCH

Kuala Lumpur: Selepas dikritik hebat peminat bola sepak tanah air yang mempertikaikan pemilihan pemain, akhirnya barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya dijangka memanggil beberapa muka baharu pada kem latihan pusat negara September ini.

Pasukan negara yang gagal menyerlah dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu didakwa membariskan pemain-pemain yang kurang mendapat minit permainan hingga menyebabkan pasukan sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga di belakang UAE dan Vietnam.

Lantas, peminat mendedahkan agar pengurusan pasukan selepas ini memanggil pemain-pemain yang memiliki minit permainan mencukupi bagi menyarung jersi negara.

Jelas pengendali negara, Tan Cheng Hoe, beliau membayangkan akan memanggil beberapa pemain baharu bagi diuji pada tiga kem latihan pusat bermula September ini selain Oktober dan November nanti.

“Lagipun ketika itu (jendela aksi antarabangsa pada September, Oktober dan November) Liga Super berhenti rehat, jadi kita boleh gunakan masa itu untuk mengadakan latihan dan perlawanan.

“Disamping itu, kita juga nak uji pemain-pemain yang baharu dan melihat potensi mereka pada latihan dan dalam aksi persahabatan nanti,” katanya.

Sebelum ini, aksi longlai skuad negara di UAE banyak dikaitkan oleh peminat dengan isu pemilihan pemain yang hanya duduk di bangku simpanan namun tetap disenaraikan dalam pasukan negara.

Malah, isu kekurangan minit permainan turut menjadi pertikaian apabila terdapat pemain yang jarang beraksi bersama kelab di liga masih tetap di bawa.

Antara nama-nama yang sering menjadi bualan peminat tempatan yang harus dipanggil ialah dua pemain Terengganu FC iaitu Hakimi Abdullah dan Faizal Halim, tonggak lincah Penang FC, Mohammad Al-Hafiz Harun dan pertahananan Selangor FC, Sharul Nazeem.