Sesuatu yang baharu menanti Kelantan FC

Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengakui berminat untuk membawa bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim bersama pasukannya dalam Liga Super musim depan.

Begitupun, persetujuan itu hanya dapat termeterai jika kedua-dua pihak bersetuju dengan ‘pinangan’ dan ‘hantaran’ yang bakal diberikan.

Malah, katanya beliau sudah berhubung dengan Teong Kim namun tiada sebarang apa yang dimuktamadkan lagi.

Namun, jika tidak dapat membimbing skuad The Red Warriors sekalipun, beliau berhasrat melantiknya sebagai Pengarah Teknikal mahupun Pengarah Sukan di peringkat pengurusan kelab.

“Ya (berminat dengan khidmat Teong Kim) jika semua terma dan syarat dipersetujui bersama. Ini semua membabitkan hal perniagaan jadi sudah tentu ada harganya.

“Saya pun sebenarnya sudah berbual dengan Teong Kim, seorang figura yang luar biasa, begitu juga dengan Datuk K Rajagobal tetapi saya sebenarnya lebih suka untuk menggilap bintang daripada menerima bintang.

“Jadi berkemungkinan kalau mereka (Teong Kim atau Rajagobal) jadi pengarah teknikal, pengarah sukan ataupun memainkan peranan utama dalam pengurusan dan penasihat, mungkin saya boleh pertimbangkan.

“Bagi saya, tidak salah untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Pemilikan Saham TRW Kelantan FC di sebuah hotel di ibu negara, petang tadi.

Pada majlis itu, Kelantan FC mengumumkan Presiden Skyrian Bhd, Nik Hafiz Naim Nik Hassan sebagai pemegang lima peratus saham syarikat membabitkan nilai RM3 juta.