Shebby Berbunyi Pulak Lagi

KUALA LUMPUR: Penganalisis dan pengulas bola sepak, Serbegeth Singh menggelar Barcelona sebagai pasukan ‘Basilona’ selepas skuad itu mengalami kekalahan memalukan 8-2 kepada Bayern Munich di suku akhir Liga Juara-Juara, semalam.

Serbegeth yang lebih mesra disapa Shebby memberi gelaran itu apabila menganggap pendekatan yang digunakan Barcelona ketika ini sudah basi.

Katanya, kelab gergasi Sepanyol yang dianggap sebagai antara kelab terbaik dunia itu tidak melakukan pembaharuan berbanding pesaing mereka yang lain.

“Kalau kita lihat Barcelona dalam dua atau tiga musim ini makin merosot. Tapi kerana mempunyai Lionel Messi, jadi tidak nampak keretakan yang ada dalam pasukan itu.

“Pendek kata Basilona, sudah basi dah… tak ada taktik baharu, tiada apa. Orang sudah tahu, tiada pembaharuan, tiada inovasi, tiada pembelian pemain yang boleh bawa pasukan melonjak ke tahap lebih tinggi.

“Kalau kita bezakan dengan Real Madrid, sedikit demi sedikit mereka melakukan peralihan yang mana pasukan sudah ada pemain muda dan pemain jangka panjang berkualiti,” kata Shebby.

Selain itu, Shebby berkata kemerosotan Barcelona sebagai bukti bahawa setiap kelab perlu melakukan perubahan atau pembangunan dalam skuad utama jika mahu meningkatkan tahap permainan.

“Buat pembelian dengan harga yang tinggi, tapi pemain tak diberi peluang atau tidak menunjukkan pembelian sebenarnya seperti Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele.

“Jadi, adakah pembelian ini yang seharusnya dibuat atau sekadar beli sahaja. Kalau sudah beli kena integrasi dalam pasukan atau beli ikut keperluan. Banyak kelemahan Barcelona yang akhirnya, kekalahan 8-2 sudah tidak boleh dinafikan,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/08/721874/barcelona-sudah-jadi-basilona