Status 2 Lagi Pemain Dikaitkan Dengan Skuad Penyu

KUALA TERENGGANU: Selepas pemain kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi, dua lagi bakal awang import Terengganu FC (TFC) selamat tiba di ibu negara semalam, sebelum meneruskan perjalanan ke negeri ini.

Sebaik tiba, Christopher Herd dan Carli De Murga terus menjalani proses kuarantin selama 10 hari. Dua lagi pemain yang turut dikaitkan dengan skuad Penyu iaitu Makan Konate dan David Da Silva yang sepatutnya turut sama sampai, gagal berbuat demikian akibat masalah visa.

“Dua pemain itu (De Murga dan Herd) sudah tiba di ibu negara. Proses membawa masuk mereka juga agak ketat, tidak seperti biasa dan kini menjalani kuarantin bersama Shitembi sbagi membendung pandemik COVID-19.

“Kita jangka mereka akan diperkenalkan sebagai pemain pada awal bulan depan sebelum turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan. Namun begitu, ianya bergantung kepada situasi semasa.

“Apa kita harapkan kehadiran tiga pemain itu mampu membentuk keserasian dengan pemain tempatan lebih-lebih lagi skuad TFC bakal berdepan dengan pasukan gergasi Asia dalam pentas Piala AFC musim depan,” kata sumber itu sambil menjangkakan Konate dan Da Silva dijangka tiba selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.

Herd bekas bintang kelab Liga Perdana Inggeris, Aston Villa yang mampu beraksi di posisi pertahanan dan tengah, mengisi kuota import Asia manakala pemain naturalisasi Filipina, De Murga atau nama sebenarnya Carlos Alberto De Murga mengisi slot kuota ASEAN.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/768404/tiga-import-tfc-jalani-kuarantin-di-kl