Status Menjadi Tanda Tanya

ALOR SETAR: Status pengendali Pahang, Dollah Salleh untuk musim depan mungkin menjadi tanda tanya apabila skuad Tok Gajah tersingkir daripada saingan Piala Malaysia selepas tewas kepada Kedah 2-3 di Stadium Darul Aman semalam.

Menurut Dollah, sudah menjadi lumrah dalam kerjaya bola sepak sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya oleh pengurusan Pahang untuk perancangan musim depan.

“Itu belakang kira, dan sudah menjadi lumrah kalau dikekal, kekallah, kalau tidak, itu sahajalah, kerana semua perkara itu adalah lumrah sebagai pemain, jurulatih dan saya tak khuatirkan benda itu,” katanya.

Menyentuh mengenai perlawanan yang mengakibatkan Pahang tewas di Darul Aman semalam, Dollah menganggap skuadnya tidak bernasib baik dengan pertahanannya longlai di babak pertama perlawanan ketika ketinggalan tiga gol yang menjadi antara punca kekalahan.

“Kita ambil mudah dalam keadaan tidak begitu bahaya, kita beri Kedah jaringkan gol. Jadi kesilapan-kesilapan mudah sebenarnya yang membuatkan perancangan kita serba tak menjadi, cuma nasib mungkin tidak menyebelahi kita dan kita cuma dapat membalas dua gol sahaja.

“Pada separuh masa kedua pula saya cakap kalau sikap mereka berterusan dalam padang seperti aksi pada separuh masa pertama, awak (pemain) akan dibolosi banyak lagi gol, jadi awak kena ubah dan itulah perubahan yang telah berlaku,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/11/751360/dollah-pasrah