Status Pemain Ini Terjawab

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menunggu, penyerang Perak, Guilherme De Paula akhirnya sah bergelar pemain naturalisasi ketiga skuad Harimau Malaya.

Perkembangan itu dimaklumkan Perak FC dalam kenyataan ringkas di Facebook mereka sambil menjelaskan De Paula akan didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain kelahiran Brazil itu membuat penampilan sulung dalam kancah liga bola sepak Malaysia pada 2015 bersama Selangor dan pernah mewakili PDRM serta Kuala Lumpur.

De Paula, 34, kemudian menandatangani kontrak bersama pasukan Perak sejak tahun lalu yang bersaing dalam Liga Super.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam ketika dihubungi BH Sukan turut mengesahkan perkara itu.

Difahamkan berita mengenai kelulusan De Paula mendapat taraf naturalisasi diterima FAM pada minggu lalu.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya sebelum ini sudah memiliki dua pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Sumber : BH