Sudah Mengadakan Perbincangan

Shah Alam: Selangor masih lagi mencari pemain import berkualiti dan terbaik untuk menguatkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, ketika ini hanya dua pemain import yang akan kekal bersama skuad Gergasi Merah iaitu Ifedayo Olesegun dan Safuwan Baharudin.

Beliau berkata, Selangor sedang memantau beberapa pemain import dari Eropah untuk diserapkan dalam pasukan musim depan.

Katanya, ketika ini pihaknya tidak mahu mengumumkan siapa pemain import berkenaan yang akan bergandingan dengan Ifedayo nanti.

“Kami sudah mengadakan perbincangan bersama beberapa pemain import yang dilihat mampu menggalas cabaran membantu Selangor pada musim depan.

“Pemain berkenaan kali pertama beraksi di Liga M dan bukannya pernah menabur bakti bersama pasukan di Asia Tenggara.

“Sekarang ini terpulang kepada barisan kejurulatihan untuk membuat penilaian pemain import terbaik untuk Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Selangor dilaporkan antara pasukan terawal melakukan rombakan pada pasukan dengan tidak menyambung kontrak beberapa pemain utama mereka.

Antara yang kemungkinan tidak disambung kontrak adalah Farizal Harun, Khyril Muhymeen Zambri, Zahril Azri, Anwar Ibrahim dan pemain kacukan, Nick Swirad.

Pemain import yang digugurkan pula adalah Rufino Segovia, Taylor Regan dan Sandro da Silva.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/12/649110/selangor-masih-mencari-tonggak-import-sesuai