Sumareh Dikatakan Tolak Tawaran Kelab dari Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh didakwa menolak tawaran dari kelab Qatar, Jepun dan Korea Selatan untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu akaun Instagram dikenali insaprojectglobalgroup dipercayai milik syarikat ejen kepada Sumareh.

“Kami berbangga untuk mengumumkan majlis tandatangan pemain kami, Sumareh oleh pasukan juara Liga Malaysia, JDT,” kata kenyataan dari insaprojectglobalgroup itu.

“Selepas mendapat beberapa tawaran daripada Qatar, Korea dan Jepun, Sumareh memutuskan untuk menyertai pasukan terbaik di Asia Tenggara yang mana tahun ini dia boleh beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL).”

Kenyataan yang turut tersebar di laman sosial itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi khususnya daripada peminat bola sepak tanah air.

Malah, ada yang mempertikai mengapa Sumareh menolak tawaran daripada kelab yang berada di negara yang menduduki kelompok lima teratas dalam ranking Asia demi untuk menyertai Harimau Selatan.

Pemain berusia 26 tahun itu diumumkan secara rasmi sebagai tonggak baharu JDT yang juga juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, semalam.

Terdahulu, menerusi kenyataan ringkas di Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, Sumareh mendedahkan turut dipancing beberapa kelab Malaysia.

“Saya telah dihubungi oleh beberapa kelab di Malaysia, dan sudah pasti saya memilih kelab yang terbaik,” katanya.

Sumber : BH