Sumareh Sudah Menandatangani MOU?

ADAKAH benar tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh sudah tebus kontraknya bersama skuad Tok Gajah untuk tahun hadapan?

Persoalan terbabit timbul apabila terdapat perkhabaran bahawa kontrak pemain terbabit tamat pada penghujung 2022 namun tidak kurang juga mendakwa dia sudah membayar baki kontrak untuk tahun hadapan.

Jika ternyata benar Sumareh sudah menebus kontrak untuk tahun hadapan, dia hanya tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum bebas untuk beraksi bersama pasukan lain pada musim hadapan.

Namun mengikut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), perkara terbabit tidak diketahui pihak pengurusan membabitkan penebusan kontrak pemain itu untuk musim 2021-2022.

Sumber berkata, pihaknya ada mendengar berkaitan perkara terbabit selepas isu Sumareh tidak hadir latihan hangat diperkatakan namun menerusi maklumat yang diterima setakat ini kontrak pemain itu akan berakhir 2022.

“Kami pula mendapat maklumat bahawa Sumareh sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bersama sebuah pasukan untuk tidak lagi beraksi bersama Pahang kira-kira dua bulan lalu, namun sejauh mana khabar angin itu biarlah pihak berkaitan menentukan.

“Sehingga kini, Sumareh masih lagi tidak berbincang bersama pengurusan Pahang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik sekali gus merungkai segala salah faham yang berlaku sebelum ini.

“Sumareh mahu lebarkan karier ke kelab lain tiada halangan cuma jangan timbulkan pelbagai isu termasuk gaji tertunggak hingga memberikan pandangan negatif kepada PBNP,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan pemain naturalisasi pertama negara itu tidak lagi kelihatan menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah sejak sejak sebulan lalu sekali gus mencetuskan persoalan ke mana ‘menghilangnya’ Sumareh.

Perkara terbabit menjadi lebih hangat selepas tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid akan berkelana ke Portimonense SC sekali gus melihat kemungkinan Sumareh akan menggantikan posisi yang ditinggalkan pemain terbabit nanti.

Malah, desas desus Sumareh akan berpindah ke JDT sudah lama bertiup kencang terutama selepas bekas rakan sepasukannya, Matthiew Davies turut berubah angin ke pasukan selatan tanah air itu.

Sementara itu, Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Suffian Awang ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara terbabit dan setakat ini PBNP belum lagi menentukan bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap Sumareh.

“Berkaitan perkara terbabit terutama soal kontrak saya tidak boleh mengulas lanjut namun sehingga kini pengurusan dan Sumareh masih lagi belum berbincang bagi menyelesaikan masalah yang berlaku,” katanya.