Tak Perlu Sentap

KUALA LUMPUR: Legenda Red Giants, Azman Adnan menyifatkan pandangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tentang pasukan Selangor sebagai satu cabaran untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

Pada sesi temu bual dalam rancangan BOLA@MAMAK bersama sebuah stesen televisyen swasta kelmarin, TMJ yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menyenaraikan Selangor sebagai pencabar bagi saingan Liga M.

Azman antara penyerang terbaik pernah dimiliki negara, meminta Selangor menyahut cabaran itu dan melihatnya dari sudut positif kerana pandangan TMJ bukannya bersifat untuk merendahkan juara 33 kali Piala Malaysia tersebut.

“Apa yang TMJ katakan tentang Selangor itu ada betulnya. Kalau saya pihak pengurusan pasukan, bila seseorang itu bagi komen, saya akan ambil sebagai cabaran.

“Saya akan bagi tahu kepada pemain atau staf, kita cuba buat yang terbaik kerana teguran itu bukan untuk menjatuhkan kita.

“Kadang-kadang teguran itu sebab nak tengok Selangor membangun. Sekarang kita ada jurulatih dari Jerman dan DNA, jadi kita tunggu DNA apa yang akan keluar dan masih terlalu awal untuk kita bagi keputusan.

“Biarlah mereka teruskan dengan latihan sebab jurulatih pun baru datang. Tapi yang penting kalau boleh jangan ada gangguan dari luar, kalau tidak sukar untuk jurulatih lakukan kerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran produk jenamanya sendiri di sini, semalam.

TMJ memilih Kedah, Terengganu FC (TFC) dan Pahang sebagaj pencabar utama mereka dalam Liga M meskipun Selangor ketika ini paling aktif mempersiapkan pasukan.

Sumber : https://www.utusan.com.my/sukan/2020/12/selangor-tak-payah-sentap/