Faktor kekalahan besar Perak TBG

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akui tidak menyangka anak buahnya mampu merakam kemenangan besar 5-0 ke atas Perak FC pada aksi Liga Super malam tadi.

Bagaimanapun beliau mengingatkan anak buahnya agar tidak mendabik dada, sebaliknya perlu bekerja lebih keras lagi dalam aksi seterusnya bagi memastikan impian untuk mengintai slot ke pentas Piala AFC musim depan tercapai.

Apa-apapun Nafuzi memuji persembahan anak buahnya yang berjaya memperagakan aksi terbaik biarpun tanpa sokongan ‘pemain ke-12’ selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak membenarkan kehadiran penonton bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang beraksi cemerlang bermula pada awal permainan lagi dengan berjaya mengutip tiga mata berharga biarpun Perak FC cuba bangkit memburu gol.

“Pemain baharu, Habib Haroon yang bergandingan dengan Dechi Marcel dan Makan Konate memberi impak yang sangat positif di jentera tengah walaupun penampilan pertamanya bersama pasukan sejak menyertai TFC pada jendela kedua perpindahan pemain Mei lalu.

“Saya berpuas hati dengan prestasinya, kehadirannya juga memberikan keseimbangan kepada pasukan sama ada ketika pasukan bertahan dan juga menyerang, saya harap prestasi itu mampu dikekalkan terutama bertemu Melaka United pada Rabu ini,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu, TFC yang kempunan beraksi dalam Piala AFC musim ini selepas dibatalkan berikutan tiada negara yang sudi menjadi tuan rumah, bagaikan melepaskan geram selepas berjaya memperoleh tiga gol pada babak pertama menerusi Faisal Halim, David Da Silva serta jaringan sendiri pertahanan pelawat, Charles Machell.

Bersambung pada kedua, skuad Penyu menambah dua gol lagi masing-masing menerusi pemain muda meningkat naik, Hakimi Abdullah dan bekas arkitek skuad kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Sementara itu, jurulatih Perak, Chong Yee Fatt berkata, kelonggaran jentera tengah selain pemain belum serasi sepenuhnya menjadi punca pasukannya diaibkan dengan kekalahan terbesar itu.

“Saya sedikit kecewa dengan kekalahan yang agak besar kepada TFC pada malam ini (malam tadi), seharusnya ianya tidak berlaku.

“Puncanya saya lihat pemain tengah kami agak longgar dan pada masa yang sama juga boleh dikatakan keseluruhan pemain tidak memberikan permainan yang saya harapkan sebagaimana perancangan yang diatur,” katanya.

Sumber : BH