Tak Sempat “Panas”

KUALA TERENGGANU: Belum panas lagi menduduki kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd, sudah ada ura-ura kedengaran mengenai gerakan dilakukan pihak tertentu untuk menyingkirkan penyandang jawatan berkenaan, Ab Rasid Jusoh.

Isu berkenaan yang sedang berlegar di media sosial sejak minggu lalu, difahamkan sudah sampai kepada pengetahuan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) merangkap Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketika ditanya mengenai perkara berkenaan, Ab Rasid yang memegang jawatan itu sejak pertengahan Oktober tahun lalu tidak menolak wujudnya gerakan itu.

Beliau yang pernah menjawat jawatan sama dalam skuad T-Team pada 2013 hingga 2015 selain membantu kelab itu mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada 2016, sama sekali tidak menduga situasi itu berlaku.

Ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak petang semalam, beliau tetap tenang sambil menegaskan tidak mahu ambil pusing perkara itu sebaliknya kekal komited membantu TFC dan Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemegang Sarjana Pengurusan Sukan dari Universiti Curtin, Australia itu yang dibantu Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Sabri Abas menyerahkan perkara itu kepada Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd dan Presiden PBSNT membuat keputusan.

“Isu ini (untuk menjatuhkannya) hangat dalam media sosial sejak minggu lal. Saya pun tidak pasti kenapa perkara ini berlaku, lagipun saya masih baharu lagi pegang jawatan itu.

“Saingan liga pun masih belum bermula. Bagaimana pihak yang tidak bersetuju saya memegang jawatan itu menilai. Saya syak mungkin ada individu yang tidak senang dengan apa yang kami buat sekarang.

“Namun saya tidak mahu menuding jari selain memikirkan perkara itu kerana tugas diamanahkan adalah untuk meningkatkan prestasi dua pasukan itu di dalam dan luar padang. Itu yang penting serta menjadi keutamaan saya selain fokus untuk pembangunan, kewangan dan sebagainya,” katanya.

Difahamkan Dr Ahmad Samsuri sudah pun menerima resolusi untuk menyingkirkan Ab Rasid daripada terus memegang jawatan CEO selepas penswastaan penuh pasukan seperti diwajibkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Dalam perkembangan lain, Ab Rasid menyatakan pemain import terakhir skuad TFC dijangka tiba di Kuala Lumpur hari ini.

“Pemain import kelima itu adalah pemain tengah kelahiran Mali. Namun saya tidak boleh dedahkan lagi namanya sebelum pemain itu tiba di sini dan menjalani latihan bersama pasukan,” katanya.

Sumber : BH