Tak Terkejut Pun

Kuala Terengganu: Keputusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd tidak menyambung kontrak ayam tambatan skuad TFC, Lee Tuck musim depan tidak begitu mengejutkan Kelab Penyokong Bolasepak TFC.

Malah Presidennya, Mohd Isa Che Arifin menganggap perkara itu lumrah dalam sukan nombor satu negara itu walaupun kelibat pemain berdarah campuran Malaysia-England itu masih berbisa dan menjadi pemain tonggak pasukan.

Katanya, keputusan itu juga mungkin didorong ada perancangan lain pihak pengurusan selepas tiga musim pemain kelahiran Halifax, England itu menyarung jersi skuad Penyu.

“Saya akui Tuck seorang pemain yang berdisiplin dan berkualiti sebagaimana dibuktikan setiap kali diturunkan, tapi mungkin barisan jurulatih ada perancangan lain untuk membentuk barisan pemain yang lebih baik berbanding musim ini.

“Tapi untuk bersaing terutama dalam pentas Piala AFC selain Liga Malaysia, barisan kejurulatihan perlu ada perancangan yang lebih rapi dan bersedia daripada awal untuk mewujudkan suasana baharu dan pasukan yang mantap.

“Bagi kami banyak yang perlu diperbaiki, jika tanya saya hanya empat bintang daripada sepuluh yang boleh diberikan kepada pasukan musim ini.

“Justeru pengambilan pemain import dan pemain tempatan baharu nanti perlulah yang lebih baik dan berkualiti bagi mengharungi saingan peringkat Asia yang sudah tentu disertai kelab-kelab gergasi,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan pasukan mara ke pentas Asia, Mohd Isa meluahkan peminat begitu teruja selepas penantian selama lapan tahun menjadi kenyataan.

“Sebagai penyokong kami semua begitu berbangga apabila pasukan kesayangan sekali lagi mara ke pentas yang besar ini selepas kali terakhir pada 2012,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/11/645804/peminat-tak-terkejut-tuck-tak-disambung-kontrak