Tarikh Baru Pulak!

PENUNDAAN aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 seolah membawa ‘loteri’ kepada semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) apabila jadual perlawanan dirombak bagi membolehkan pasukan membuat persiapan yang terbaik selain akan memberi rehat yang mencukupi dari satu aksi ke satu aksi.

Menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Ke-22 hari ini, tarikh sepak mula dilewatkan pada 28 Ogos ini berbanding jadual asal pada 26 Ogos.

Malah, pindaan jadual terbabit turut memberikan kelebihan kepada pasukan bertanding yang hanya akan bermain di hujung minggu dan memiliki tempoh rehat lebih lama.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, penetapan tarikh baharu kalendar pertandingan MFL adalah tertakluk kepada tarikh perlawanan peringkat domestik, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

“Dalam masa yang sama, MFL optimis bahawa pindaan tarikh ini akan menyaksikan setiap pasukan akan mempunyai tempoh rehat dan perjalanan yang lebih panjang lebih fleksibel di antara empat sehingga enam hari.

“Apa yang pasti, susulan daripada penundaan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, MFL juga memiliki tarikh-tarikh simpanan di antara 10-29 November sekiranya isu Covid-19 masih berlanjutan dalam negara kita.

“Perlawanan Liga Malaysia musim ini tetap dilaksanakan seperti yang dirancang untuk menentukan pemenang liga secara rasmi bagi kelayakan AFC, ACL dan Piala AFC,” katanya.

Sebelum ini, MFL mengumumkan bahawa Liga-M kembali bersambung pada 26 Ogos ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik Covid-19.

Bagi aksi perlawanan tertunda iaitu aksi Liga Super yang menemukan PJ City FC menentang Terengganu FC serta perlawanan Liga Perdana UKM FC bertemu Kelantan kekal seperti yang dijadualkan sebelum ini iaitu pada 22 Ogos.

Berkenaan venue Kuching FA dan Sarawak United FC pula akan diumumkan dalam tempoh terdekat ekoran penularan wabak Covid-19 yang masih aktif di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan perubahan tarikh Piala Malaysia turut berlaku disebabkan pindaan kalendar baharu Liga-M.

Saingan Piala Malaysia akan membuka tirai dengan format kalah mati akan bermula 16-18 Oktober disusuli aksi suku akhir (24 dan 25 Oktober), separuh akhir (30 dan 31 Oktober) dan perlawanan akhir pada 7 November ini.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/2020/08/612035/pindaan-jadual-liga-m-beri-pasukan-kelebihan