Tawaran Yang Diterima Juga Menarik

KUANTAN: Bekas pemain kebangsaan, Gopi Rizqi Rama Chandra sedang menimbang dua tawaran daripada pasukan lain untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain tengah berpengalaman itu berkata, tawaran itu diterima baru-baru ini selepas kontraknya bersama pasukan Pahang sah tidak disambung.

“Saya masih belum membuat keputusan berhubung dua tawaran pasukan itu yang masing-masing beraksi di Liga Super dan Liga Perdana. Sebenarnya saya tidak kisah sama ada beraksi di Liga Super atau Perdana kerana misi utama adalah untuk kekal bermain dalam saingan Liga M musim 2021.

“Tawaran yang diterima juga menarik kerana sebelum ini saya sememangnya masih mencari pasukan baharu selepas tidak lagi bersama Pahang musim depan,” kata pemain berumur 31 tahun itu.

Bagi menghadapi saingan Liga M musim 2021, Gopi Rizqi mengharapkan yang terbaik untuk membantu pasukan baharunya nanti.

Berdasarkan rekod, Gopi Rizqi mula bermain dalam saingan Liga M bersama Pahang dari 2010-2015, diikuti Selangor (2016), Johor Darul Ta’zim (JDT) (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019) dan Pahang (2020).

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/768448/gopi-rizqi-terima-dua-tawaran-bagi-musim-depan