Teka-Teki Kini Terjawab

ALOR SETAR: Pemain pertahanan kelahiran Brazil, Renan Alves menyambung kontrak semusim lagi bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkembangan itu diumumkan media rasmi kelab berkenaan hari ini selepas pemain itu selesai menandatangani kontrak bersama pasukan KDA FC baru-baru ini.

“Selamat kembali Renan Alves, pemain import terakhir yang diikat KDA FC bagi musim 2021. Pihak pengurusan meneruskan khidmatnya untuk semusim lagi bersama pasukan Hijau Kuning. Dengan ini, ia melenyapkan desas desus mengenainya sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

Kedudukan Alves untuk melengkapkan kuota import Kedah musim ini pernah menjadi persoalan apabila nama beliau tidak diumum lebih awal

Namun dengan pengumuman rasmi yang dibuat KDA FC ini sudah pasti ia akan melicinkan lagi perancangan yang bakal diatur ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak bersama gandingan empat lagi import yang diikat sebelum ini.

Import terbabit adalah Kpah Sherman, Kipre Tchetche, Rabih Ataya dan M Anumanthan.

“Tidak dapat dinafikan sumbangan besar beliau di bahagian pertahanan. Dengan bentuk fizikal yang tinggi dan keras serta padu, diyakini ia mampu mematahkan serangan pihak lawan,” kata Aidil.

“Beliau turut memberi sumbangan kejayaan dengan menjaringkan beberapa gol dalam situasi bola mati semasa beberapa aksi penting bersama Kedah sejak dua musim lalu,”.

Sumber : BH