Tempang Pun Boleh Menang Besar

LONDON: Jurgen Klopp memuji tindak balas Liverpool menangani krisis kecederaan apabila menundukkan Leicester City 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi meskipun beraksi tanpa lapan tonggak.

Kemenangan itu membolehkan mereka berkongsi 20 mata bersama pendahulu, Tottenham dan mencipta rekod baharu kelab apabila tidak kalah di Anfield dalam aksi liga sejak April, 2017.

Reds turun tanpa Virgil van Dijk, Joe Gomez, Trent Alexander-Arnold, Jordan Henderson, Thiago Alcantara, Xherdan Shaqiri dan Alex Oxlade-Chamberlain akibat kecederaan, manakala penjaring terbanyak, Mohamed Salah positif Covid-19.

Bagaimanapun mereka masih mampu mengalahkan Leicester untuk melebarkan rekod 64 perlawanan liga tanpa kalah di Anfield.

“Sangat berpuas hati kerana kami berhak (menang) 100 peratus.

“Pemain-pemain ini memberikan persembahan yang mantap berdepan lawan kuat.

“Pasukan ini berada pada prestasi terbaik malam ini biarpun dihimpit krisis yang buruk sebelum perlawanan,” kata Klopp.

James Milner, 34, sekali lagi membuktikan dia mampu mengisi posisi bek kanan dengan baik, manakala Naby Keita yang dibawa masuk di bahagian tengah memainkan peranan besar.

Milner turut melakukan dua bantuan gol, termasuk sepakan penjuru yang menyebabkan pemain Leicester, Jonny Evans menjaringkan gol sendiri pada minit ke-21.

Diogo Jota muncul pemain Liverpool pertama meledak gol dalam empat perlawanan berturut-turut apabila menanduk hantaran cantik di minit ke-41.

Ketangkasan Kasper Schmeichel memastikan Leicester tidak dibolosi lebih banyak gol pada babak kedua apabila menyelamatkan beberapa percubaan Sadio Mane dan Jota.

Malah, Roberto Firmino juga berpeluang menambah gol tetapi tendangannya dikeluarkan pertahanan lawan, Marc Albrighton.

Bintang Brazil itu bagaimanapun melengkapkan kemenangan 3-0 Reds apabila menyudahkan sepakan penjuru Milner, enam minit sebelum perlawanan tamat.

Jurulatih Leicester, Brendan Rodgers kini tewas dalam semua tiga pertemuan menentang bekas pasukannya, Liverpool. – AFP

Sumber : https://www.utusan.com.my/sukan/2020/11/tempang-pun-masih-boleh-menang/