Terengganu FC Serius!!

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) serius menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan apabila sudah berjaya melengkapkan senarai penuh barisan pemainnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata skuad Nafuzi Zain itu juga sudah mula menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, sejak Selasa lalu dan kini hanya menunggu kehadiran pemain import.

“Kita sudah mempunyai pemain tempatan dan import yang lengkap mengikut posisi yang ditentukan oleh barisan jurulatih sebagai persediaan menjelang Liga M selain Piala AFC musim depan.

“Cuma pemain import belum sampai lagi, tapi senarai sudah ada. Ini kerana untuk membawa mereka ada prosedur agak ketat dengan situasi pandemik Covid-19 sekarang kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk tidak boleh masuk ke negara ini dan macam-macam lagi.

“Oleh sebab itu kita tidak boleh jangka bila pemain import ini akan tiba ke Terengganu. Kita harapkan mereka akan sampai selewat-lewatnya awal Januari kerana permohonan pun sudah dibuat cuma menanti kelulusan berdasarkan prosedur ditetapkan kerajaan.

“Kita yakin dan percaya dengan senarai pemain yang ada ini serta paten akan diterapkan jurulatih bakal mempunyai falfsafah yang baik dan sesuai dengan pemain sekali gus bakal menghadirkan impak positif dan berkesan buat pasukan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu ketika sesi latihan kedua pemain TFC semalam.

Musim ini skuad Penyu melepaskan 12 pemainnya termasuk kapten pasukan berdarah campuran Malaysia-England, Lee Tuck selain empat import iaitu Sanjar Shaakhmedov, Muhammad Faris Ramli, Babacar Diallo dan Dominique Da Sylva.

Pemain tempatan pula adalah Stuart Wark, Darren Lok, D Saarvindran, Kamal Azizi Mohd Zabri, Ilham Amirullah Razali, Nasrullah Haniff Johan dan bekas pemain Harimau Muda A,

Shukur Jusoh.

Bagi mengisi kekosongan itu TFC merantai tujuh muka baharu iaitu Faisal Abdul Halim (Pahang), Muhammad Arif Mohamed Anwar (UiTM) selain tiga pemain Kelantan iaitu Hakimi Abdullah, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Nik Akif Syahiran Nik Mat serta Asnan Ahmad (UKM FC) dan terakhir Azarul Nazarith Azhar bekas pemain FELDA United.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/765617/skuad-penyu-sudah-lengkap