Terima Kasih KFA

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bersetuju untuk menamatkan kontrak dengan pemain pertahanan, Azmeer Yusof.

Perkara itu dinyatakan dalam laman Facebook KFA hari ini selepas satu persetujuan penamatan kontrak secara bersama di antara KFA dan Azmeer dicapai.

“Satu persetujuan penamatan kontrak secara bersama di antara KFA dan Azmeer telah dicapai atas permintaan beliau sendiri.

“Seluruh warga KFA mengucapkan terima kasih kepada pemain pertahanan berjersi 25, Azmeer Yusof di atas segala jasa dan keringat beliau sepanjang berbakti bersama skuad Hijau Kuning.

“Sepanjang bersama Kedah sejak musim lalu, beliau telah membantu Kedah merangkul kejuaraan Piala FA 2019 dan finalis Piala Malaysia 2019 selain menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-4.

“Terima kasih Azmeer, Biar Jasa Jadi Kenangan” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Azmeer ketika dihubungi, berterima kasih kepada kepimpinan KFA yang memberi peluang dan sokongan buat dirinya sepanjang khidmat bersama skuad Lang Merah yang mencapai banyak kejayaan dalam kariernya.

“Terima Kasih KFA. Segala kenangan manis kejayaan menjadi semangat buat saya dan harapan saya semoga pasukan Kedah terus berjaya menempa nama dan melakar kejayaan dalam saingan Liga Bolasepak Malaysia.

“Kepada penyokong Kedah, teruskan menyokong sahabat saya dalam pasukan dan sentiasa mendoakan kejayaan mereka dalam setiap perlawanan yang akan mereka hadapi nanti. Pulun Kedah pulun”. katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/07/708707/kfa-azmeer-setuju-tamat-kontrak