Teruja Bersama Pasukan Baharu

KUALA LUMPUR: Pemain berdarah kacukan, Darren Lok sah memperkuat cabaran PJ City FC selepas menjadi rekrut terbaru diikat pasukan itu bagi saingan Liga Super musim depan.

Pengendali skuad ‘Phoenix, P Maniam mengakui bekas penyerang kebangsaan itu memiliki kriteria yang dimahukan dan diyakini mampu membantu pasukan itu memberi cabaran kepada pasukan lain dalam kancah bola sepak tempatan.

“Antara faktor kita mahukan Darren kerana dia ada kelebihan daripada segi fizikal dan bijak mencari ruang untuk mengutip hantaran. Dengan corak permainan kita, kami percaya kemasukannya akan membantu memperkemas jentera serangan PJ City FC.

“Walaupun dia adalah penyerang yang berbeza dengan apa yang kita ada sebelum ini, dia tetap memiliki penyudah yang baik. Dia akan membantu khususnya dalam corak serangan balas pantas,” kata Maniam

Selain Darren, PJ City FC juga mendapatkan khidmat beberapa pemain tempatan lain antaranya bekas pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar ataupun ‘Beto’ dan bekas pertahanan Selangor, K Prabakaran.

Sementara itu, Darren yang juga bekas penyerang Terengganu FC (TFC) mengakui tertarik dengan projek yang dilakukan pasukan itu selepas hanya akan menggunakan khidmat pemain tempatan pada musim 2021 nanti.

“Selepas mendengar pasukan ini akan menggunakan keseluruhan pemain tempatan, saya berminat kerana situasi ini akan memberikan lebih banyak peluang kepada penyerang seperti saya untuk beraksi.

“Sudah tentu saya mahukan minit permainan tetapi saya tahu perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

“Apapun, saya teruja untuk mengharungi cabaran baharu dan saya sentiasa menantikan peluang sebegini,” katanya.

Sumber – https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/764987/darren-rekrut-terbaru-pj-city