Tiada masalah jumpa JDT

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menegaskan pasukannya perlu melakukan persediaan rapi bagi mengharungi aksi separuh akhir Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Isnin ini.

Sedar akan berdepan tugas getir berdepan Harimau Selatan yang juga juara bertahan, Nafuzi bagaimanapun tetap mengharapkan rezeki memihak pasukannya untuk ke final.

“Saya tidak perlu berbicara mengenai pasukan JDT kerana semua sudah maklum JDT bagaimana. Jika nak dibandingkan dengan TFC, memang jauh beza.

“Cuma kita perlu betul-betul bersedia. Kita di landasan yang betul, selangkah lagi untuk ke final, bagi yang terbaik berdepan JDT, Insya-Allah ada rezeki kita (ke final),” katanya selepas perlawanan berdepan Sarawak United, semalam.

TFC mara ke separuh akhir selepas menundukkan Sarawak United dengan agregat 6-3 hasil kemenangan 4-2 pada suku akhir kedua di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.

Bagi aksi separuh akhir, TFC akan menanti kunjungan JDT dahulu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin ini sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi kedua, Jumaat ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak United, E Elavarasan menyifatkan gol awal TFC dalam aksi suku akhir kedua meranapkan impian pasukannya untuk bangkit selepas tewas 1-2 dalam aksi suku akhir pertama.

“Bila kita bolos dua gol awal nampak sangat kelebihan kepada TFC. Babak kedua lebih baik dan walaupun kita dapat jaringkan dua gol, tapi saya fikir ketika itu TFC sudah selesa dan mereka hanya bertahan daripada dibolosi,” katanya.

Sumber : BH