Tiada rezeki

Kekecewaan tidak dapat beraksi dalam Piala AFC tidak harus menghantui pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika mereka sedang berusaha untuk terus berada dalam kelompok teratas Liga Super.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak mengingatkan pemain agar tidak meratapi kekecewaan dan perlu segera memberi fokus kepada saingan liga tempatan.

Katanya, semua pihak perlu percaya akan hikmah yang ada di sebalik pembatalan aksi melibatkan KDA FC dan Terengganu FC (TFC) dalam saingan peringkat Asia tersebut selain berusaha menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin demi kebanggaan penyokong setia.

“Di peringkat Piala AFC, kita mungkin sudah ‘selesai’ tetapi masih banyak tugas perlu dilaksanakan dalam liga tempatan bagi setidak-tidaknya me­nyamai pencapaian berada di kedudukan kedua Liga Super se­perti tahun lalu.

“Kami perlu lupakan kekecewaan ini dan segera bergerak ke depan.

“Dalam masa sama, saya memuji pemain dan pengurusan yang sebelum ini bersungguh-sungguh membuat persiapan menghadapi Piala AFC,” katanya semalam.

Sementara itu, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berkata, beliau bersama rakan-rakan­nya sudah bersedia untuk mengalihkan tumpuan kepada aksi tempatan, selepas ini.

“Kalau bercakap mengenai persiapan Piala AFC, pasukan telah me­lakukan yang terbaik.

“Sejak awal musim kita mendapatkan pemain berkua­liti dan sepanjang tempoh latihan, masing-masing berusaha melakukan persediaan.

“Bagi saya kita sudah buat 100 peratus namun tiada rezeki untuk beraksi di pentas Asia,” katanya.

Sumber : Utusan