Tidak Ada Satu Pun Padang Latihan

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menegaskan kejayaan yang dikecapi oleh JDT bukanlah kerana faktor perbelanjaan wang yang banyak semata-mata.

Sebaliknya pemilik JDT itu berpandangan, mana-mana pasukan bolasepak boleh meraih kejayaan jika sesebuah pengurusan itu bijak menguruskan wang.

“Kejayaan ini bukanlah disebabkan sokongan kewangan sahaja tetapi ianya lebih kepada pelan struktur yang baik,” katanya kepada NST.

“Anda boleh mempunyai banyak wang tetapi akhirnya apa yang penting adalah keharmonian di bilik persalinan.

“Anda boleh mempunyai wang yang banyak, infrastruktur yang baik, gimnasium dan gaji tetapi jika 27-30 orang pemain itu tidak mahu berhempas pulas atau berlari untuk kamu di atas padang, anda tidak akan menang perlawanan.

Jadi bagi saya, pengurusan individu adalah kunci kepada kejayaan organisasi dan wang hanyalah salah satu daripadanya. Ia bukan segalanya.”

TMJ juga mengakui bahawa wang memainkan peranan penting, namun setiap pasukan perlu mempunyai pelan jangka panjang demi kelangsungan di masa akan datang.

“Pahang mempunyai banyak duit, begitu juga Kedah dan Selangor tetapi bagaimana mereka tidak mempunyai satu pun fasiliti latihan? Tidak ada satu pun padang latihan. Bagaimana mereka tidak memiliki stadium sendiri?

“Kenapa mereka tidak mempunyai perancangan bagaimana hendak memperoleh sumber kewangan atau menswastakan pasukan atau mempunyai kejayaan komersil untuk kelab?

“Duit boleh membawa anda ke sasaran tetapi anda perlu mempunyai perancangan yang berkesan, untuk melaksanakan apa yang anda inginkan bagi mendapat apa yang anda mahu capai.

“Pasukan-pasukan dahulu mempunyai wang yang banyak, namun mereka tidak mempunyai apa yang kami miliki dan saya mempunyai segalanya pada 2014 meskipun hanya menubuhkan kelab pada 2013.

“Jadi, benar, wang adalah penting tetapi tanpa perancangan dan strategi yang berkesan, ianya tidak akan menjadi.”

Sumber : https://football-tribe.com/malaysia/2020/08/09/tmj-jdt-capai-kejayaan-bukan-sebab-duit-semata-mata/