“Tok Guru” Berang!

“Jangan mainkan emosi dia, kalau kata boleh..lepaskan, kalau tak boleh…kata tak boleh.”

Demikian nada kekecewaan yang dilahirkan oleh bekas ‘tok guru’ Luqman Hakim Shamsudin ketika di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim.

Teong Kim yang kini menetap bersama keluarganya di Munich, Jerman mengakui kecewa dengan perkembangan karier Luqman sehingga menjadi permainan tarik tali sesetengah pihak berhubung tawaran kontrak beraksi di luar negara.

Dia yang bertanggungjawab mengasah bakat Luqman hingga muncul sebagai penyerang muda paling prolifik di depan gawang berkata, semua pihak perlu membantu bagi memudahkan perjalanan kariernya sebagai pemain profesional.

“Budak ini baru 18 tahun. Jangan bermain dengan emosi dia yang sudah teruja untuk pergi ke sana (Belgium).

“Sudah pasti dia sudah berkhayal bermain dengan kelab luar negara.

“Namun selepas empat lima bulan ia belum berlaku lagi. Saya pasti dia pasti bosan dan kalau mental tidak kuat pasti akan hilang motivasi,” katanya.

Setakat ini, majikan Luqman iaitu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) belum mengeluarkan surat pelepasan, malah pemain itu sendiri belum memutuskan masa depannya.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Mohd Shah Alias Norbit menasihati bintang bola sepak remaja membuat percaturan betul jika menerima tawaran dari kelab luar negara supaya tidak tersalah langkah.

“Bagi saya terpulang kepada mereka. Kalau bermain di dalam negara gaji tidak bayar tidak guna juga. Gaji tidak bayar buat apa hendak main di sini,” katanya ketika ditemui Arena Metro di kediamannya semalam.

Sumber : https://langmerahfans.my/2020/07/02/teong-kim-berang-emosi-luqman-dipermainkan/