Ucap Selamat Tinggal?

KUALA LUMPUR: Perebutan gelaran naib juara dan pasukan yang akan mengikut jejak PDRM tersingkir ke Liga Perdana musim depan menjadi elemen menarik untuk disaksikan dalam aksi terakhir Liga Super musim ini, hari ini dan esok.

Ia selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah mengesahkan kejuaraan lebih awal yang turut menjadi gelaran ketujuh berturut-turut mereka dalam Liga Super sejak 2014.

Kini, perebutan tempat kedua hanya terbuka kepada pasukan Perak dan Kedah dengan Terengganu FC (TFC) hanya memiliki peluang untuk menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Lebih menarik, skuad Bos Gaurus dan Lang Merah akan membuat perhitungan itu dalam perlawanan di Stadium Perak, malam esok, sekali gus dilabel sebagai aksi final perebutan naib juara Liga Super.

Selain gelaran naib juara, perlawanan itu juga penting kerana ia bakal menentukan pasukan mana akan meraih tiket untuk beraksi di Piala AFC tahun depan.

Kedah yang kini memiliki kelebihan satu mata di depan Perak hanya memerlukan keputusan seri untuk bergelar naib juara dan sekali gus layak ke Piala AFC.

Tugas lebih berat menanti skuad Bos Gaurus kerana mereka tiada pilihan lain kecuali perlu menggunakan tempoh 90 minit perlawanan itu untuk menundukkan Lang Merah bagi merampas kedudukan kedua.

Berbekalkan momentum yang dibina sejak empat perlawanan terakhir, Mehmet Durakovic berharap situasi itu mampu menjadi azimat buat Perak walaupun mereka terpaksa meratapi ketiadaan ketua pasukan, Shahrul Saad susulan digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

“Moral pemain buat masa ini berada di tahap menakjubkan. Semangat yang mereka tampilkan ketika mampu bangkit daripada ketinggalan tiga gol sebelum seri 3-3 berdepan Pahang selain berjaya menang dalam tiga perlawanan sebelum itu jelas membara,” katanya.

Selain itu, pertarungan Sabah dan FELDA United dalam usaha menyelamatkan diri jatuh ke Liga Perdana musim depan tidak kurang hebatnya.

Bagaimanapun, FELDA United berdepan tugas berat apabila akan berdepan Selangor, malam ini dan sekiranya seri atau tewas, mereka boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super musim depan.

Walaupun, dikejutkan dengan pengumuman penarikan diri skuad The Fighters dari saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan, berita syarikat The Fighters Sdn Bhd yang sedang berusaha mencari dana untuk mengekalkan pasukan itu terus bersaing dalam kancah bola sepak tempatan menjadi motivasi buat pemain untuk meraih kemenangan menentang Red Giants.

Sekiranya berjaya menundukkan Selangor, anak buah Nidzam Jamil bagaimanapun perlu mengharapkan Sabah tewas kepada UiTM FC.

Bagaimanapun, tarikh baharu aksi Sabah dan UiTM masih belum diputuskan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas ia ditunda susulan pendemik COVID-19.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/10/740384/perebutan-naib-juara-liga-super-panas