Wan Karpet Banyak Menempa Kejayaan Bersama Kedah FA

Walaupun prestasi pasukan negeri kelahirannya iaitu bekas juara Liga Super Malaysia 2007 dan 2008, Perlis dilihat suram dan kian merudum sejak kali terakhir beraksi di Liga Super Malaysia pada 2011, namun perkara tersebut tidak berlaku terhadap karier Syazwan Zainon.
Anak kelahiran Kangar, Perlis ini melengkapkan penghijrahannya ke pasukan baharu bagi musim 2019 iaitu Selangor FA setelah beberapa musim beraksi di pasukan negeri jirannya iaitu Kedah FA. Syazwan Zainon menyertai Selangor FA bagi saingan Liga Super Malaysia sekaligus menyaksikan Selangor FA sebagai kelab kelima dalam karier bola sepak profesionalnya. Syazwan Zainon menyertai Selangor FA dari Kedah FA.

PERLIS FA
Syazwan Zainon yang kini berusia 29 tahun, memulakan pendidikan awal akademik dan karier bola sepaknya di Sekolah Bukit Jalil sebelum kembali ke negeri Indera Kayangan untuk beraksi bersama skuad pelapis Perlis pada tahun 2006 hingga 2007 sebelum menyertai Harimau Muda pada tahun 2008.

FELDA UNITED & JOHOR FC
Setelah beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya iaitu Perlis pada musim 2009, Syazwan Zainon melebarkan karier profesionalnya dalam kancah Liga Super Malaysia bersama Felda United pada tahun 2011 sebelum beliau dan tiga lagi pemain Felda United iaitu Khaironisam Shahbudin, Azi Shahril Azmi dan Zamri Chin berhijrah ke selatan tanah air untuk beraksi dengan Johor FC setahun kemudian. Ketika itu Johor FC dikemudi oleh K. Devan yang menggantkan Azmi Mohamed sebagai jurulatih Johor FC.

KEDAH FA
Pada tahun 2013, Syazwan Zainon kembali semula ke Felda United, namun akhirnya beliau dipinjamkan kepada pasukan Kedah FA dan menyaksikan dirinya bermain dalam Liga Premier Malaysia buat kali pertama. Syazwan Zainon yang dibawa ke Kedah FA oleh bekas penolong pengurus Kedah iaitu Amirul Nidzam Mahadzir akhirnya menandatangani kontrak untuk kekal di Kedah Fa. Beliau berbakti kepada Kedah FA dari tahun 2014 hingga 2018.

Syazwan Zainon merupakan antara pemain tempatan yang memainkan peranan penting dalam pasukan Kedah FA apabila berjaya membawa Kedah kembali ke kancah ulung bola sepak Malaysia iaitu Liga Super Malaysia pada tahun 2016. Bersama pasukan Kedah FA, Syazwan Zainon berjaya merangkul juara Liga Perdana 2015, juara Piala Malaysia 2016, juara Piala FA 2017 dan juara Piala Sumbangsih 2017.

Tanpa pernah berselindung, Syazwan menyatakan bahawa prestasinya banyak meningkat sejak beraksi dengan Kedah FA dan beliau banyak mendapat ilmu bola sepak daripada ketua jurulatih Kedah FA pada waktu itu iaitu Tan Cheng Hoe. Syazwan Zainon merupakan pemain yang mudah mencipta persefahaman dengan rakan pasukan dan rakan-rakan sepasukannya menggelarnya dengan nama Wan Karpet, gelaran yang diperolehnya tatkala di bangku sekolah iaitu semasa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Perlis. Kawan-kawannya menggelarkannya Wan karpet kerana rambutnya yang kerinting dan lembut seperti karpet.

HARIMAU MALAYA
Dek kecemerlangannya bersama pasukan Kedah FA, Syazwan Zainon telah dipanggil untuk mewakili pasukan Negara di bawah kendalian Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee. Syazwan Zainon melakukan penampilan pertamanya buat skuad kebangsaan pada 11 Oktober 2016 iaitu semasa Malaysia menentang Afghanistan dalam perlawanan persahabatan.

Sepanjang tiga tahun beraksi buat pasukan Malaysia iaitu dari tahun 2016 hingga 2018, Syazwan Zainon telah memperoleh 17 ‘caps’ dan menjaringkan 2 gol buat skuad kebangsaan. Kejohanan yang disertai oleh Syazwan Zainon sewaktu beraksi dengan pasukan kebangsaan adalah semasa Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 di mana beliau telah menjaringkan satu gol ketika Malaysia menumpaskan Kemboja dengan jaringan 3-2. Gol tersebut membuatkan namanya terus mekar menjadi sebutan masyarakat bola Malaysia. Satu lagi gol sumbangan beliau adalah ketika Malaysia mencatatkan keputusan seri ke atas Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka semasa perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 pada 5 September 2017.

SELANGOR FA
Perpindahan Syazwan Zainon ke Selangor FA pastinya merupakan suatu tonik baharu kepada pasukan Selangor yang rata-ratanya dianggotai oleh pemain-pemain muda. Syazwan Zainon yang terkenal dengan kerajinan dan kelincahannya di atas padang pasti akan menjadi senjata sulit Selangor di bawah kendalian jurulatih baharu, B. Satianathan bagi mengharungi cabaran musim baharu Liga Super Malaysia. Kelincahannya di bahagian saya pasti banyak memanfaatkan bahagian ser4ngan Selangor, sama seperti yang dilakukannya sewaktu membantu para peny3rang Kedah pada waktu dahulu iaitu Billy Mehmet, Chidi Edeh, Carlos Kahe, Thiago Augusto Fernandes, Shane Smeltz, Ken Ilso, Pablo Pallares dan Paulo Rangel.

Syazwan Zainon merupakan salah seorang pemain tempatan yang terpaksa berhijrah keluar dari negeri kelahirannya untuk menempa nama dan meraih kejayaan dengan pasukan bola sepak lain selain daripada pasukan bola sepak negeri kelahirannya. Sesungguhnya bola sepak merupakan karier profesional yang menuntut usaha dan kerja keras setiap pemain untuk berjaya. Bola sepak merupakan acara sukan yang bertahap universial dan perlu dijauhkan daripada sebarang unsur perkauman, mentaliti anak jati, perbezaan ras dan agama.

Pemain bola sepak memegang tanggungjawab yang besar dalam merealisasikan hasrat dan sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan dan pemain bola sepak perlu dberikan kebebasan untuk memilih pasukan manakah yang ingin diwakili oleh mereka demi mengembangkan kerjaya mereka di samping meningkatkan pendapatan keluarga. Setiap penyokong perlulah lebih bersikap terbuka dalam menyokong pasukan masing-masing dan sentiasa bersedia merelakan para pemain pujaan mereka yang berhasrat untuk berhijrah ke pasukan lain.

Sumber : football-lads.blogspot.com