Wan Zack Mahu Kembali

KUALA LUMPUR: Menyarung semula jersi keramat skuad Harimau Malaya menjadi antara misi besar Wan Zack Haikal Wan Noor untuk musim 2021.

Dia sebelum ini pernah menjadi tonggak penting kepada skuad kebangsaan, namun episod kecederaan yang dialami pemain berusia 29 tahun itu seakan menjejaskan hasratnya untuk kembali membantu pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Malah, masalah kecederaan yang dialami turut menyaksikan dia terpaksa berehat panjang dan hanya tampil dalam beberapa perlawanan terakhir musim ini bersama Selangor.

Biarpun baru pulih dari kecederaan, sentuhan Wan Zack tampak masih menjadi apabila dia muncul pemain terbaik ketika Selangor meraih kemenangan 2-1 ke atas Melaka United dalam saingan Piala Malaysia musim ini, sebelum kejohanan itu dibatalkan minggu lalu.

“Memang saya ingin kembali beraksi bersama pasukan kebangsaan dan sudah menjadi impian semua pemain untuk mewakili pasukan negara,” katanya kepada BH Sukan.

“Namun, saya perlu bermain dengan bagus serta mencapai prestasi yang terbaik untuk saya buktikan bahawa saya masih lagi mampu bermain bersama pasukan kebangsaan.

“Insya-Allah, untuk musim 2021 saya akan bekerja dengan lebih kuat dan berusaha mendapatkan tempat kembali bersama pasukan kebangsaan.”

Bagaimanapun, masa depan Wan Zack bersama Selangor masih belum diputuskan dengan sekurang-kurang dua pasukan dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/11/756581/wan-zack-nak-kembali-ke-pangkuan-harimau-malaya