Yang Dinantikan Kini Hampir Pasti

KUALA TERENGGANU: Kuota lima pemain import Terengganu FC (TFC) bakal lengkap apabila bekas kapten kelab Persebaya Surabaya di Liga Indonesia, Makan Konate dijangka tiba di sini, esok.

Sumber memberitahu, pemain kelahiran Mali di Afrika itu dan berusia 30 tahun sudah pun selesai menjalani arahan kuarantin selama sepuluh hari di Kuala Lumpur sejak tiba di negara ini dua minggu lalu.

“Jika semuanya berjalan dengan lancar dan Konate mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk merentas negeri, pemain itu dijangka tiba di sini esok.

“Selepas itu pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd akan memperkenalkannya secara rasmi kepada peminat. Namun saya tidak mahu mendahului kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Tapi saya percaya pemain tengah menyerang itu akan dapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk melapor diri bersama pasukan TFC musim ini,” kata sumber berkenaan.

Berdasarkan rekod, pemain yang memulakan kariernya bersama kelab Stade Malien dalam Liga Mali itu sudah tidak asing lagi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) kerana pernah menyarung jersi kelab T-Team pada 2016 hingga 2017.

Malah pemain itu juga tidak asing lagi dalam kancah bola sepak ASEAN kerana pernah beraksi bersama enam kelab di Liga Indonesia bermula dengan pasukan Pekanbaru, Barito Putera, Persib Bandung, Sriwijaya, Arema dan Persebaya Surabaya.

Kehadiran pemain perancang berketinggian 1.78 meter itu bakal menjadi taruhan skuad kendalian Nafuzi Zain dan Tengku Hazman Raja Hassan bagi menggantikan tempat kapten musim lalu, Lee Tuck yang kini bersama Pahang.

Sebelum ini TFC yang bakal mewakili negara dalam saingan Piala AFC selepas menghuni di tangga ketiga Liga Super musim lalu sudah merantai empat import termasuk bekas pertahanan kelab Aston Villa yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Christopher Herd.

Sumber : BH