Zaquan Adha kembali!

Zaquan Adha Kembali!!

Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) mendapatkan semula beberapa bekas pemain skuad Hobin Jang Hobin yang berkelana ke beberapa negeri sebelum ini bagi memperkuatkan pasukan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bekas penyerang Kedah, Mohamad Zaquan Adha Radzak antara pemain yang sudah kembali. Pemain berusia 33 tahun itu yang sebelum ini pernah beraksi bersama Kuala Lumpur dan Johor Darul Ta`zim (JDT) menandatangani kontrak baru-baru ini.

Menurut sumber, kehadiran semula adik kembar kepada pertahanan JDT, Aidil Zafuan itu, dijangka mampu mengembalikan semula kegemilangan Negeri Sembilan (NS) yang pernah dikecapi sebelum ini.

“Setakat ini, Zaquan adalah antara beberapa bekas pemain yang akan bersama NS. Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sudah mencapai kata sepakat untuk mendapatkan khidmatnya,” katanya.

Zaquan Adha pernah beraksi bersama NS pada 2006 hingga 2011 dengan membantu pasukan itu menjulang beberapa trofi seperti Liga Super 2006, Piala Malaysia 2009 dan 2011 serta Piala FA 2010.

Sumber juga memberitahu bekas pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Nasrullah Hanif Johan dan Melaka United (MU) Annas Rahmat, turut kembali. Kedua-dua pemain ini adalah produk program pembangunan bola sepak NS.

Selain itu, bekas pemain PJ City, R Aroon Kumar dan R Barathkumar selain bekas penjaga gol FELDA United, Muhaimin Mohamad. Bekas penyerang skuad bawah 23 tahun negara, N Thanabalan bagaimanapun tiada dalam senarai.

NS sebelum ini mengumumkan bekas ketua jurulatih PJ City, K Devan sebagai pengendali baharu.

Sumber-https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/764137/zaquan-adha-kembali-perkuat-ns