Alex Kini Gergasi Merah

Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan kemasukan seorang lagi pemain import baharu iaitu Alex Agyarkwa yang didaftarkan sebagai pemain pasukan ‘feeder’ Gergasi Merah, Selangor 2 sebelum jendela perpindahan kedua ditutup pada 31 Mei 2021.

Menurut kenyataan rasmi, pemain kelahiran Ghana yang berusia 20 tahun ini hadir sebagai pemain yang dipinjamkan selama separuh musim daripada kelab Accra Lions, yang juga merupakan kelab asal Jordan Ayimbila (Selangor FC) dan George Attram (Selangor FC 2).

Untuk rekod, Alex Agyarkwa merupakan antara pemain tonggak pasukan Accra Lions dan telah dinobatkan sebagai ‘Man of The Match’ sebanyak 8 daripada 13 perlawanan sepanjang separuh musim 2021.

Menurut Michael Feichtenbeiner, Pengarah Sukan Selangor FC, pemain berketinggin 172cm yang bermain di Liga Ghana divisyen dua ini bakal mengisi barisan tengah pasukan Selangor FC 2 dengan potensi yang dimilikinya.

“Selepas melihat aksi-aksi terbaik yang dipamerkan oleh Jordan Ayimbila dan George Attram serta hubungan baik bersama kelab Accra Lions, saya telah berbincang dengan pemilik kelab tersebut dan beliau bersetuju untuk meminjamkan Alex Agyarkwa pemain import Selangor FC 2.”

“Alex telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dan sering kali menjadi Man of The Match dalam perlawanan yang disertainya. Beliau juga merupakan seorang pemain yang memiliki pelbagai kemahiran individual yang diperlukan dalam pasukan.”

“Selain itu, beliau juga merupakan seorang pemain tengah yang fleksibel kerana boleh bermain di posisi nombor 8, 10 dan 6 dengan baik. Beliau juga mempunyai kaki kiri yang dominan dan mampu membuat hantaran-hantaran yang tepat kepada penyerang, selain memiliki kemahiran gelecek yang bagus. Ini bakal memberi kelebihan dalam corak permainan yang kita gunakan sekarang,” jelas Michael.

“Saya meletakkan beliau di Selangor FC 2 bagi membantu beliau untuk menyesuaikan diri dengan DNA Selangor FC seperti Jordan Ayimbila dan George Attram. Langkah ini perlu untuk mempersiapkan Alex untuk tugas dan cabaran yang lebih besar di kelab ini.”

Walau bagaimanapun, Alex hanya akan tiba di Malaysia pada minggu hadapan dan akan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum mula dibenarkan untuk menyertai latihan pasukan Selangor FC 2 pada awal bulan Julai nanti.

Dalam perkembangan lain, skuad Selangor FC 2 kini sedang giat berlatih dalam minggu kedua menjalani latihan secara ‘camp-based training’ sepanjang tempoh 14 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Beberapa pemain Selangor FC 2 yang menunjukkan prestasi yang baik sepanjang musim ini juga telah diserap masuk ke pasukan utama Gergasi Merah bagi membantu melancarkan sesi latihan yang telah dirancang oleh Karsten Neitzel.

Selangor FC 2 juga telah menyerap masuk Abdul Alim (penjaga gawang) dan Syaizwan Irfan (pertahanan) daripada pasukan Belia Selangor bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain-pemain yang diserap masuk ke pasukan utama.

Sumber : VocketFC